"Lata Kashmir Jeli" - Tarikan Terbaharu Di Kelantan

TRAVEL
May 05, 2023 - 01:30 PM


Sebut saja Kashmir, Pakistan sudah tentu ramai yang terbayang keindahan alam semula jadinya yang menghijau dengan hamparan rumput dan bukit bukau memukau.

Namun, siapa sangka Malaysia juga mempunyai lokasi seindah Kashmir.

Disebabkan persamaan Lata Kashmir yang terletak di Kampung Lawar, Jeli, Kelantan antara destinasi menarik wajib anda kunjungi.

Lata Kashmir adalah satu lokasi baharu pelancongan yang sesuai untuk semua terutama bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak dan sukan air sambil menikmati suasana hijau alam semula jadi.

Pemilik Lata Kashmir Campsite, Khuzaimah Mamat, 73, berkata, keindahannya yang berlatarkan air sungai jernih, hamparan rumput yang hijau dan gunung-ganang menjadikan destinasi itu cantik serta menarik.

Katanya, destinasi itu sudah dikenali penduduk sekitar sejak beberapa tahun lalu sebelum ia diteroka dan diperkenalkan kepada umum.

"Sebelum ini hanya penduduk kampung yang tahu destinasi ini sebelum ia tular berikutan keindahan alam semula jadi dan air sungainya yang jernih.

"Melihat potensi yang ada untuk dijadikan pusat pelancongan, anak saya bersama sepupunya mula membersihkan kawasan itu tahun lalu," katanya.

LOKASI LATA KASHMIR SEBENARNYA DALAM KEBUH BUAH-BUAHAN

Menurut Khuzaimah sebelum ini, Lata Kashmir itu berada dalam kebun buah-buahan miliknya. Kebun itu seluas kira-kira 1.2 hektar ditanam pokok buah-buahan termasuk durian, rambutan dan dokong.

Katanya, destinasi itu kemudian diteroka anaknya, Zulfadli Khuzaimah, 33, bersama anak saudaranya, Norhisham Mat Zain, 38, pada Ogos tahun lalu.

"Melihat lata itu menarik, anak saya bersama anak saudara membersihkan kawasan untuk diketengahkan sebagai lokasi pelancongan baharu bagi daerah Jeli dan Kelantan.

"Alhamdulillah pelbagai pihak termasuk Majlis Daerah Jeli serta Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli yang memberi sokongan untuk menjadikan destinasi itu sebagai tempat tumpuan ramai.

"Mereka turut memberikan sokongan dari segi peralatan dan sama-sama membantu mempromosikan kawasan ini hingga ia dikenali ramai termasuk penduduk dari luar negeri ini dan Singapura," katanya.

AKTIVITI BERKELAH, MANDI-MANDA & BERKHEMAH

Jelas Khuzaimah lagi, sebelum ini pengunjung datang untuk berkelah dan mandi-manda di sungai di lokasi itu sahaja sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Tapi, kini pihaknya mengambil pelbagai inisiatif dengan membina 15 khemah untuk disewa pengunjung yang mahu bermalam di situ.

Selain itu, pengunjung juga boleh berkhemah di kawasan dikhaskan yang dibina dengan pelbagai kemudahan termasuk tandas, tempat mandi dan surau.

Kata Khuzaimah, pihaknya sentiasa menjaga destinasi itu kerana mahu memastikan khazanah alam semula jadi kekal terpelihara selain mengelakkan ia rosak atau kotor.

"Justeru, kami mengambil tanggungjawab memastikan kawasan ini bersih dan terjaga.

"Pada masa sama kami mahu pengunjung selesa bersantai dan bermalam di sini.

"Kami membuat pembaharuan dengan membina pelbagai kemudahan termasuk tempat parkir yang luas dan memastikan laluan masuk juga selesa walaupun ia jauh dari jalan utama," katanya.

TARIKAN TERBAHARU 'WATER RAFTING & JUNGLE TREKKING' SERTA AIR TERJUN DIWALI

Menurut Khuzaimah, setiap hujung minggu dan cuti persekolahan, Lata Kashmir begitu menarik kunjungan ratusan pengunjung dari dalam dan luar Kelantan.

Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk meredah jeram (water rafting) dari Lata Kashmir ke Gunung Reng yang mengambil masa dua jam.

"Ramai yang berminat dengan aktiviti dan cabaran itu kerana mereka mahu menikmati keindahan di kiri serta kanan sungai, selain mahu merasai sendiri keseronokan di Lata Kashmir.

"Kami menyediakan pelampung besar yang boleh memuatkan lima hingga enam peserta dengan dibantu petugas untuk memastikan keselamatan semua.

"Peserta juga perlu memakai jaket keselamatan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga menyediakan aktiviti 'jungle trekking' untuk mereka yang mahu merasai cabaran berada dalam hutan.

Lebih menarik, pengunjung juga boleh berkunjung ke air terjun Diwali yang terletak kira-kira dua kilometer dari Lata Kashmir.

"Bagi pengunjung yang mahu ke air terjun Diwali, mereka perlu naik pacuan empat roda yang mengambil masa 10 minit.

"Pendek kata, kurang lengkap ke Jeli jika tidak singgah di Lata Kashmir yang indah ini," katanya.

VIDEO LATA KASHMIR JELI

Sumber & Kredit Gambar : HARIAN METRO

Destination: