"Iman Rabbit Farm" - Taman Arnab Terbesar & Pertama Di Melaka

TRAVEL
August 11, 2023 - 06:20 PM


Jika anda bercuti ke Melaka dan tak tahu nak bawa anak-anak jalan-jalan ke mana -- mungkin anda boleh bawa mereka 'bercuti sambil belajar' ke Taman Arnab Pertama dan Terbesar di Melaka.

Tarikan terbaharu itu "Iman Rabbit Farm" yang terletak di Kampung Tambak Paya, Ayer Molek, Melaka mengetengahkan konsep edutourism iaitu pendidikan dan pelancongan yang boleh dijadikan destinasi tepat bagi aktiviti pembelajaran luar bilik darjah kepada anak-anak.

Pengusahanya, Roslan Mohd Noor berkata persekitaran yang tenang dan dikelilingi ratusan arnab antara faktor ladang itu sebagai lokasi ideal untuk semua kategori pengunjung khususnya kanak-kanak.

Iman Rabbit Farm kini mempunyai 7 jenis baka arnab yang pastinya akan memberikan pengalaman berbeza untuk murid atau kanak-kanak.

“Bagi keselesaan pengunjung kami sediakan lokasi untuk bersantai sambil bermanja atau melakukan aktiviti bersama arnab. Pengunjung juga didedahkan mengenai cara menjaga dan membela haiwan comel ini.

“Harapan kami agar lebih ramai murid sekolah, taska dan tadika berkunjung ke Iman Rabbit Farm untuk merasai sendiri pengalaman membelai arnab termasuk jenis baka yang sukar ditemui.

“Pengunjung terutama golongan kanak-kanak dapat mempelajari sesuatu mengenai haiwan berbulu (arnab) ini kerana mereka boleh memegang sambil memberi makan,” katanya.

Sementara itu, isterinya Sapura Harin yang juga pengusaha bersama ladang terbabit berkata -- pihaknya dalam perancangan untuk membina galeri dan menambah baik fasiliti bagi memberikan lebih keselesaan dan pilihan kepada pengunjung.

“Menjelang hujung tahun ini perancangan itu akan dilaksanakan, kami mahu pelawa lebih ramai pengunjung termasuk dari luar melaka datang ke Iman Rabbit Farm, lebih-lebih lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) semakin hampir.

“Antara yang dirancang adalah membina fasiliti seperti surau, tandas dan menambah tempat bersantai bagi keselesaan pengunjung datang bersama keluarga.

“Selain itu kita juga akan membina galeri Iman Rabbit Farm, menawarkan cenderahati berasaskan arnab. Persekitaran ladang ini akan dihijaukan lagi dengan menanam jenis rumput yang sesuai dengan arnab. Perancangan ini perlu kerana jumlah arnab kami semakin banyak,” katanya.

Bayaran masuk yang dikenakan untuk pengunjung ke Iman Rabbit Farm adalah kanak-kanak RM5, dewasa RM8, manakala orang kurang upaya (OKU) dan warga emas RM3.

Iman Rabbit Farm beroperasi setiap hari kecuali Rabu dari jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang.

Destination: