Melaka Bakal Miliki Tarikan Pelancongan Baru, 'Defence Theme Park’ Di Muzium Kapal Selam!
TRAVELSebuah taman tema berkeluasan hampir tiga hektar akan dibina berdekatan Muzium Kapal Selam, Klebang -- sekaligus bakal menjadikan satu lagi produk pelancongan baharu di Melaka.
Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Akramuddin Ab Aziz berkata, perbelanjaan pembinaan taman tema ‘defence theme park’ itu dianggarkan menelan belanja kira-kira RM300 juta.
“Cadangan pelaksanaan ‘defence them park’ ini kita akan bawa dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah pada pertengah Oktober ini untuk mendapat kelulusan sebelum ia dapat dilaksanakan.
“Perbelanjaan pelaburan agak tinggi dengan kos k ira-kira RM300 juta. Ia akan dibina di kawasan Muzium Kapal Selam yang mana 7.2 ekar daripada 10 ekar kita akan gunakan untuk taman tema ini,” katanya.
Menurutnya, sekiranya cadangan pembinaan taman tema itu mendapat kelulusan namun perhatian tetap diberikan Perzim kepada Muzium Kapal Selam.
“Walaupun fokus diberikan kepada pelaksanaan taman tema itu tetapi semasa itu juga Perzim akan lakukan baik pulih Kapal Selam juga,” katanya.
Sementara itu, mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga kini dalam proses perbincangan dengan pelayar negara Datuk Azhar Mansor untuk membawa kapal layar digunakan ketika mengelilingi dunia dibawa ke Melaka dan diletakkan di Muzium Samudera.
“Kita kini dalam proses perbincangan dengan Azhar Mansor untuk kita bawa balik kapal bagi dipinjamkan selama beberapa tahun dan ini juga akan menjadi produk pelancongan terbaharu,” katanya.
Sumber: Melaka Hari Ini