'Kemain Kecil Papan Tanda Kat Tengah Lebuh Raya Besar Ni' - SUKE Highway Jadi Bualan Hangat Netizen Lagi
TERKINIPada Hari Malaysia yang lalu iaitu 16 September -- buat kali pertama Lebuh Raya SUKE (Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway) telah rasmi dibuka untuk laluan orang awam.
Menariknya, laluan itu tidak dikenakan sebarang tambang selama sebulan. Secara tidak langsung, orang ramai mengambil kesempatan dengan menggunakan laluan tersebut dan berdasarkan analisis Prolintas, hampir 100,000 kenderaan telah direkodkan dalam masa 24 jam pertama.
Namun 3 hari selepas pembukaannya -- rekod SUKE telah dijejaskan dengan kes kemalangan pertama yang berlaku di atas lebuh raya berkenaan.
Terbaharu, Lebuh Raya SUKE sekali lagi menjadi bualan hangat netizen di media sosial apabila ramai penggunanya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak pengurusan kerana didakwa meletakkan papan tanda susur keluar yang terlalu kecil serta sukar dilihat pemandu.
Ramai pengguna yang menyuarakan masalah tersebut dengan memuat naik video di laman sosial TikTok antaranya @bob_yp.
@bob_yp Punyala kecik signboard #fyp #fypシ #fypシ゚viral #bobyp #teambobyp #fastthrottle #rltracing #mrsbobyp #runner #fypシ ♬ original sound - Bob Yp
Lebih mencuit hati, gara-gara tulisan pada papan yang kecil itu dia nyaris melanggar pembahagi jalan kerana terlalu fokus membaca papan tanda berkenaan.
Video yang mendapat lebih daripada lebih 800,000 tontonan itu menunjukkan papan tanda bagi susur keluar menuju ke Ampang dan Hulu Langat.
Bagaimanapun, saiznya yang kecil menyukarkan pengguna membaca dari jarak jauh terutamanya buat pengguna pertama kali yang masih tidak biasa dengan jalan tersebut.
Perkongsian itu mengundang tawa daripada netizen. Seorang pengguna TikTok Nikovidnineteen turut bersetuju dengan aduan berkenaan.
“Betul bang, sayapun perasan terkejut gak ar. Belum lagi sampai exit Kajang, jangan terkejut. Tiba-tiba jadi kecil ada lampu trafik light terus jem,” tulisnya.
“Samala, masa lalu mula-mula petang semalam, dahla sayapun pakai spec, terlajak la sikit, nasib tiada kereta belakang, cepat-cepat undur,” kongsi Maknya si ZaraAish.
Seorang pengguna TikTok Firdaus Aziz yang menggunakan leburaya SUKE berkenaan turut berkongsi pengalaman sama ketika menggunakan lebuhraya SUKE tersebut.
Malah Liza Zara berkata gara-gara saiz papan tanda yang kecil dia pernah termasuk lorong yang salah sehingga perlu pusing jauh dan lebih menyakitkan hati perlu membayar tol sehingga tiga kali.
Sementara seorang lagi pengguna TikTok bersetuju dengan perkongsian berkenaan kerana dalam tempoh sebulan penggunaan percuma itu pihak pengurusan SUKE boleh menambahbaik perkhidmatan menerusi maklum balas daripada pengguna.
Sumber: Motoqar