Bersalah Atau Tidak? Bicara Kes 11 Pertuduhan Gangguan Seksual Ebit Lew Bermula Esok
TERKINIBermula esok (27 September) sehingga 30 September ini -- banyak mata akan tertumpu kepada proses perbicaraan kes pendakwah popular, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali Ebit Lew yang melibatkan kes gangguan seksual di Mahkamah Majistret Tenom.
Lew, 37 tahun menghadapi 11 pertuduhan -- antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 5 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Majistret Nur Asyraf Zolhani akan mendengar kes itu -- manakala pendakwaan akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohammad Ramli dan Adibah Saiful Bahari
Barisan peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye akan mewakili Lew.
Pada Februari lepas, Lew mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual dan dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.
Tenom merupakan sebuah daerah di pedalaman Sabah terletak kira-kira 145km arah selatan dari Kota Kinabalu.
Sumber: FMT