Tak Sesuai PRU Tahun Ini - Met Malaysia
TERKINIPilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan semasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, PRU-15 tidak wajar dilakukan tahun ini khususnya dalam keadaan perubahan iklim yang sedang berlaku.

"Jika mengambil kira pandangan kami daripada komuniti pengurusan bencana, secara umumnya kami tidak menggalakkan untuk diadakan PRU15.
"Ini kerana dalam tempoh peralihan MTL akan banyak lokasi di seluruh Malaysia menghadapi kemungkinan bencana banjir.
"Oleh itu, dari segi kesesuaian cuaca memang tidak membantu untuk diadakan pilihan raya kerana kita banyak bergantung kepada keadaan cuaca," katanya.
Dr Mohd Hisham berkata, MTL dijangka bermula pada pertengahan November 2022 dan berakhir pada Mac 2023.

"Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku antara November hingga Disember 2022. Manakala, mulai Disember 2022 hingga Februari 2023, episod hujan lebat berterusan dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak.
"Bagaimanapun, hujan lebat berterusan juga boleh berlaku di negeri pantai barat sekiranya luruan monsun kuat dan atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara dan kebanyakan tempat dijangka menerima jumlah hujan bulanan pada paras purata pada MTL 2022/2023," katanya.
