"Masih Dalam Tempoh Edah, Tapi Muncul Di Hari Penamaan Calon" - Tindakan Zahida Dipersoal?

TERKINI
November 06, 2022 - 12:20 AM


Selain tercetusnya "Ribut Politik" di Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akibat pengguguran 2 calon BN otai di negeri itu iaitu penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Siapa sangka pada Hari Penamaan Calon pada Sabtu juga berlaku satu lagi "Konflik Hukum Edah" yang dilakukan oleh calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Besar, Datuk Zahida Zarik Khan.

Ini kerana Zahida yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO ketika ini seharusnya menjalani tempoh edah selama 4 bulan 10 hari seperti yang ditetapkan hukum Islam selepas kematian suaminya pada 20 Ogos lepas.

Bagaimanapun, Zahida kelihatan menghadirkan diri ke pusat penamaan calon di di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Padang Besar, Perlis dengan berpakaian hitam serta bertudung biru.

Namun, difahamkan beliau menghantar wakil untuk ke atas pentas ketika pengumuman calon dibuat Suruhan Pilihan Raya (SPR).

Berkenaan tindakannya itu, Zahida dikatakan masih menunggu pandangan pakar agama serta Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengenai kaedah berkempen dalam tempoh edah.

Dalam hadis daripada Ummu 'Athiyyah, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak berkabung seorang perempuan ke atas orang yang meninggal dunia lebih daripada tiga hari kecuali ke atas suaminya, (dia berkabung) empat bulan 10 hari, dan dia dilarang memakai pakaian yang dicelupkan warna kecuali pakaian yang sederhana dan dilarang memakai celak mata dan memakai wangian kecuali untuk bersuci (selepas membersihkan darah haid), iaitu diusap sedikit sahaja daripada haruman atau wangian." (Riwayat Muslim)

Menghabiskan tempoh edah di rumah didiami bersama suami dulu lebih sesuai dengan keadaan perempuan yang sedang berkabung untuk menyelamatkan daripada fitnah. Perempuan diharuskan keluar dengan alasan mendesak seperti ke klinik, membeli barang keperluan atau ke tempat kerja (bagi yang bekerja)

Jika tugasnya boleh dilakukan pada siang hari, maka tidak harus baginya memilih untuk bertugas pada waktu malam kerana pada waktu malam boleh menimbulkan pelbagai tuduhan dan fitnah. Larangan itu dalam tempoh edah.

Sebelum ini kes calon dalam tempoh edah dialami oleh Datin Mastura Mohd Yazid, yang dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar pada 2016.

Bagaimanapun, Datin Mastura tidak menghadiri penamaan calon ketika itu memandangkan masih dalam tempoh edah selepas kematian suaminya.

Apatah lagi peraturan SPR tidak mengkehendaki calon hadir, sebaliknya boleh diwakili oleh pihak pencadang dan penyokong yang lebih penting untuk hadir pada hari penamaan calon.

Dalam satu hantaran video di akaun Facebook rasminya, Zahida berkata untuk proses berkempen selama 14 hari ini beliau akan membataskan pergerakan diri dan hanya akan menggunakan saluran media sosial sebagai kaedah mendekati pengundi di Parlimen Padang Besar.

Untuk rekod -- Zahida dicalonkan di kerusi itu selepas nama penyandang, Datuk Zahidi Zainul Abidin digugurkan BN pada PRU15, dengan kali ini menyaksikan persaingan 5 penjuru termasuk Zahidi sebagai calon bebas.

 

Destination: