Semua Kagum Bila PM10 Tolak Kereta Mewah Jadi Kenderaan Rasmi. 5 Jenama Kereta Ini Pernah Jadi Pilihan Pemimpin Negara!

TERKINI
December 02, 2022 - 03:33 PM


Kereta rasmi kerajaan merupakan kenderaan yang digunakan oleh sesebuah kerajaan untuk membawa Ketua Negara atau Negeri menuju ke pelbagai destinasi domestik.

Ada kalanya kenderaan tersebut digunakan untuk membawa pegawai tinggi kerajaan yang lain termasuk diplomat asing.

Kebiasaannya, kenderaan digunakan mempunyai ciri keselamatan dan perlindungan yang tinggi kerana membawa individu penting kepada negara.

Kenderaan rasmi kerajaan selalunya terdiri daripada segmen sedan, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Di bawah garis panduan Dasar Automotif Negara Malaysia, kereta rasmi bagi kegunaan kerajaan persekutuan dan negeri hendaklah dari kereta nasional namun tidak menjadi kewajipan sepenuhnya.

Berikut disenaraikan 5 kenderaan yang pernah digunakan oleh pemimpin negara:

1) DATUK SERI ANWAR IBRAHIM (PM10) - TOYOTA CAMRY

Baru-baru ini, kecoh di media sosial berhubung penolakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kereta jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri sebelum beliau memasuki pejabat.

Rata-rata memuji tindakan Perdana Menteri ke-10 itu untuk berjimat dan mengelak pembaziran yang dapat merugikan negara.

Langkah itu dipercayai diambil kerana beliau tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya.

Anwar, 75, membuat keputusan untuk menggunakan apa sahaja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian sebagai Perdana Menteri.

Difahamkan, Presiden PKR itu lebih selesa dengan hanya menggunakan kereta jenis Toyota Camry bagi semua urusannya.

2) DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB (PM9) - TOYOTA VELLFIRE

Selain Anwar, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pernah menolak kenderaan mewah untuk kegunaannya sebagai Perdana Menteri.

Ismail pernah ditawarkan untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan kepadanya ketika menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri ke-9.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Bera itu dikatakan lebih selesa menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dipakai pentadbiran terdahulu.

Difahamkan, Ismail turut enggan meluluskan permohonan untuk mengubah suai pesawat khas bagi kegunaan Perdana Menteri selain terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana.

3) TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN (PM8) - TOYOTA ALPHARD

Sementara itu, bekas Perdana Menteri ke-8,Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai menggunakan kereta MPV jenis Toyota Alphard.

Kenderaan membawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dipercayai digunakan beliau ketika menjadi Perdana Menteri.

Kenderaan itu juga dilihat digunakan Muhyiddin ketika bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di pintu 2 Istana Negara baru-baru ini.

4) TUN DR MAHATHIR MOHAMAD (PM7 & 4) - PROTON X70

Tatkala pemimpin lain menggunakan kenderaan mewah jenama luar negara, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap setia menggunakan jenama nasional.

Pengerusi Parti Pejuang itu menggunakan kereta Proton X70 dan tidak mempunyai cermin gelap seperti kenderaan ahli politik lain.

Beliau pernah memasuki Istana Negara menggunakan kenderaan tersebut sebelum menjadi Perdana Menteri ke-7.

5) DATUK SERI NAJIB RAZAK (PM6) - PROTON PERDANA

Pada zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, Proton Perdana menjadi kenderaan rasmi untuk kegunaannya sebagai Perdana Menteri ke-6.

Beliau juga mengekalkan penggunaan kereta Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi untuk menteri, timbalan menteri dan para pegawai kanan kerajaan.

Pada 2013, Najib telah melancarkan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan. Pada masa sama, beliau menerima kenderaan rasmi beliau dengan plat nombor W11N.

Dua unit edisi khas Proton Perdana berwajah baharu turut dikeluarkan untuk Najib dan timbalannya ketika itu iaitu Muhyiddin.

Sumber: Majoriti

Destination: