'Hirup Kopi Sambil Layan Sunset Pantai' - County’s Kopi Tarikan Baru Di Perlis

TRAVEL
January 26, 2023 - 05:48 PM


Di sebalik keindahan panorama matahari terbenam di Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis -- kini wujud sebuah van kopi bergerak yang menjadi antara tarikan baharu pengunjung di kawasan berkenaan.

Menariknya, pengunjung yang menikmati kopi di situ berpeluang berehat dan santai sambil menantikan detik matahari terbenam yang menyajikan pemandangan cukup memukau.

Dengan menyajikan minuman kopi premium kepada para pelanggan -- County’s Kopi yang diusahakan pasangan suami isteri, Fahmi Che Khosni dan Nurul Asyikin Mokhtar Kamal itu menerima sambutan cukup hebat.

Fahmi berkata, dia dan isteri mendapat inspirasi menjalankan perniagaan yang beroperasi sejak 2 bulan lalu selepas melihat beberapa pengusaha kopi di Amerika Syarikat dan Indonesia yang menggunakan konsep sedemikian dalam perusahaan mereka.

Keistimewaan lokasi perniagaan tersebut adalah sambil menghirup kopi -- para pelanggan boleh menikmati ketenangan dan kedamaian dengan melihat matahari terbenam.

“Kami banyak melihat video-video memaparkan pengusaha di luar negara begitu menghargai keindahan alam semula jadi dengan memberi peluang kepada pengunjung untuk minum kopi sambil menikmati pemandangan menenangkan.

“Disebabkan itulah kami mencuba nasib untuk menjalankan perniagaan ini di Pantai Kurung Tengar yang sememangnya terkenal dengan keindahan matahari terbenam,” katanya.

Jika anda singgah ke County’s Kopi ini anda boleh memilih 5 jenis minuman kopi premium antaranya seperti latte, hazelnut latte, dolce latte, caramel macchiato dan mocha.

Harga yang ditawarkan pula adalah serendah RM4 sehingga RM12 dengan operasi perniagaan dari pukul 5 sehingga 7 petang.

Selain itu, County’s Kopi turut menyediakan minuman tanpa kafein dan makanan untuk memberi lebih pilihan kepada pengunjung.

Di County’s Kopi turut menyediakan kemudahan meja dan tikar kepada pengunjung, namun mereka turut digalakkan untuk membawa sendiri kelengkapan berkenaan.

Meskipun baru sahaja dibuka namun County’s Kopi telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan apabila berjaya menjual sekitar 50 hingga 100 cawan kopi sehari.

Sumber: UTUSAN & Kredit Gambar: Berita Harian dan Bahanizan Baharin II

Destination: