"Jangan Main-Main, Hukumnya Haram Ya!" - Mufti Ingatkan Peniaga Jangan Jual Makanan Hangit Atau Basi

GAYA HIDUP
March 27, 2023 - 02:12 PM


Haram hukumnya bagi seseorang peniaga menjual sesuatu makanan yang tidak berkualiti -- termasuk hangit serta basi.

Demikian jelas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor ketika diminta mengulas dakwaan viral makanan di beberapa bazar Ramadan yang dilaporkan hangit, basi serta tidak sepadan dengan harga jualan sejak Khamis lalu.

HARAM KERANA TERPALIT PENIPUAN & MAKAN HARTA ORANG SECARA SALAH

Menurut Wan Salim -- peniaga yang menjual makanan sedemikian bukan sahaja terpalit dalam penipuan transaksi jual beli malah ia termasuk dalam pengertian memakan harta orang secara salah.

“Ada juga hadis yang bermaksud sesiapa yang menipu barang-barang jualannya maka dia bukan umat kami.

“Jadi saya menyeru para peniaga supaya bertimbang rasa terhadap pembeli dan janganlah mengambil kesempatan daripada keperluan orang ramai terutamanya makanan untuk dimakan ketika berbuka puasa.

“Selain itu, bulan Ramadan adalah peluang keemasan bagi para peniaga mencari pahala daripada Allah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ISLAM AGAMA RAHMAT YANG BAWA MISI KASIH SAYANG

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, Islam adalah agama rahmat yang membawa misi kasih sayang dan menyeru kepada persaudaraan antara umat Islam dan sesama manusia.

“Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah bersabda yang bermaksud ‘Allah merahmati seseorang yang bertolak ansur dalam jual beli’.

“Malah, sikap sedemikian termasuk dalam pengertian ‘ihsan’ yang menjadi salah satu tonggak Negara Madani yang dijadikan slogan terbaru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau.

Sejak Khamis lalu tular masih terdapat segelintir peniaga di bazar Ramadan tidak menitikberatkan tentang kualiti makanan yang dijual.

Ia termasuk perkongsian di media sosial menunjukkan popia yang telah rosak, karipap tanpa inti, martabak serta roti john hangit antara dibeli pelanggan di beberapa bazar Ramadan.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: