Iftar Naik Bot Sambil Jamu Hidangan Mangkuk Tingkat - Pakej "Nasi Tenong" Tarikan Baru Payang Water Taxi

TRAVEL
March 30, 2023 - 11:32 AM


Bagi yang ingin merasai pengalaman iftar agak berbeza dan unik iaitu menelusuri sungai menaiki bot, sambil menjamu selera menggunakan mangkuk tingkat ibarat tradisi lama dikenali sebagai 'Tenong' -- anda boleh menikmati semua itu di Payang Water Taxi di Kuala Terengganu.

Ini kerana Payang Water Taxi menawarkan tarikan baharu dengan penyediaan pakej 'Nasi Tenong' untuk pelanggan mereka yang menggunakan perkhidmatan itu sepanjang Ramadan ini.

Tarikan tersebut dilaksanakan bertujuan memartabatkan tradisi lama 'tenong' atau mangkuk tingkat dalam kalangan orang ramai yang menelusuri Sungai Terengganu menggunakan 'teksi air' itu.

"Mangkuk tingkat sinonim dengan masyarakat Melayu lama... kami mahu menyemarakkan kembali penggunaan tenong yang menjadi tradisi orang dulu-dulu," kata Zakaria Dagang yang juga Pengerusi Cas Ligas Sdn Bhd (CLSB), anak syarikat kerajaan Terengganu yang mengendalikan perkhidmatan itu.

Pakej Nasi Tenong menawarkan hidangan istimewa seperti ikan baung masak tempoyak dan nasi Arab --namun setakat ini perkhidmatan itu dihadkan untuk 32 penumpang sehari dan mereka yang berminat perlu membuat tempahan terlebih dahulu.

Selain pakej Nasi Tenong -- orang ramai juga boleh menikmati pengalaman berbuka puasa di atas bot dengan membawa makanan sendiri, sambil melihat keindahan jambatan angkat dan beberapa mercu tanda lain negeri Terengganu ketika menelusuri sungai.

Perkhidmatan berkenaan sebenarnya merupakan pakej river cruise normal yang ditawarkan pada hari biasa, tetapi pada bulan Ramadan sahaja pelanggan dibenarkan untuk membawa makanan dan caj yang dikenakan hanyalah RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.

Sumber: BERNAMA

Destination: