"Kita Datang Bazar Ramadan Habis Duit, Dia Kaut RM500 Sehari" - Taktik Pengemis Warga Asing Jadikan Bazar Sebagai Lubuk!

TERKINI
March 30, 2023 - 05:26 PM


Jika berkunjung ke Bazar Ramadan pasti kita akan menghabiskan banyak wang ringgit untuk membeli makanan dan minuman bagi berbuka puasa, lebih-lebih lagi dengan peningkatan harga barangan ketika ini.

Namun berlainan pula kepada nasib golongan pengemis warga asing yang menjadikan tapak Bazar Ramadan sebagai lubuk untuk mereka mengaut keuntungan sehingga RM500 sehari!

Perkara itu didedahkan hasil daripada operasi bersepadu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula kelmarin (28 Mac 2023) -- yang mengesan pengemis warga asing ini adalah hasil daripada taktik sindiket di Melaka.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, hasil Op Pengemis itu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan tiga warga asing berusia lingkungan 33 hingga 46 tahun yang disyaki menjalankan aktiviti sindiket berkenaan.

SINDIKET WARGA ASING DIDALANGI LELAKI TEMPATAN, RAIH ANTARA RM400-500 SEHARI

Siasatan awal mendapati sindiket itu didalangi lelaki tempatan tersebut yang bertanggungjawab membawa tiga warga asing yang ditahan itu ke Melaka dengan menggunakan kenderaannya bagi tujuan mengemis.

“Lelaki tersebut juga turut bertanggungjawab menguruskan tempat tinggal mereka sebuah Hotel di Jalan Tun Perak, Melaka.

“Sindiket ini turut didapati mampu memperolehi hasil kutipan harian antara RM400 hingga RM500 sehari dengan menyasarkan tapak-tapak bazar Ramadan di sekitar Negeri Melaka sebagai lokasi utama.

“Malah, kesemua mereka dipercayai mendakwa aktiviti itu dijalankan kononnya bagi tujuan pembinaan sebuah Sekolah Agama di Selatan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil operasi itu, pihaknya telah merampas dokumen-dokumen yang digunakan bagi tujuan memperdaya orang ramai, selain wang tunai berjumlah RM736.

Menurutnya lagi, kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.

“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti mengemis boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPK Melaka ditalian 06-2851999,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI) & Kredit Gambar: BERNAMA