[VIDEO] "Aduhai Kesiannya" - 4 Balang Air Terpaksa Dibuang Lelaki Ini Dek Kerana Hujan

TERKINI
March 31, 2023 - 03:00 PM


Dugaan bulan Ramadan buat seorang peniaga air balang apabila kesemua jualannya yang telah siap untuk dijual terpaksa dibuang semula disebabkan terkena hujan.

Menerusi perkongsian anaknya di media sosial yang menggunakan akaun @nrealya, dia meminta orang ramai untuk bersama-sama mendoakan kelancaran urusan perniagaan buat ibu bapanya apabila kejadian hujan lebat yang melanda mereka semalam telah menjadi satu pengajaran.

“Permudahkanlah urusan ibu dan ayah saya Ya Allah,” pohonnya.

@nrealya

permudahkanlah segala urusan ibuayah saya Ya Allah🤲🏻🥰

♬ الصوت الأصلي - لــ ؏ـبـدالـࢪحــمۘـــنۨ🖤

Katanya lagi, meskipun semalam bapanya langsung tidak dapat berniaga dan modal yang telah dikeluarkan tiada sebarang pulangan, lelaki itu tetap kelihatan kuat.

“Tak apa, rezeki Allah itu luas,” kata bapanya.

Melihat kepada rakaman sekitar 17 saat itu, terdapat empat jenis air yang dijual di atas meja dan sebahagian balangnya telah terisi dengan air hujan.

Difahamkan, bapanya berniaga air balang sempena bulan puasa di tepi jalan sekitar Subang Flora, Shah Alam.

Dalam pada itu, ramai yang memberikan kata-kata semangat kepada keluarga tersebut menerusi ruangan komen.

“Tak apa adik, Allah nak beri yang lebih baik buat perniagaan keluarga kamu, semalam mungkin Allah suruh rehat dulu, esok-esok berniaga, Allah lipat kali ganda keuntungan berniaga, Insya-Allah,” kata Hairul.

“Semoga Allah SWT gantikan rezeki yang berganda atas asbab reda dan sabar semua insan yang dinamakan usahawan,” ujar Nini Abdullah.

“Sedih tengok orang berniaga kalau musim hujan-hujan ini, reda sahaja atas ketentuanNya,” luah Siti Rumi Othman.

Sementara itu, video yang dimuat naik tersebut telah meraih lebih 3.2 juta tontonan sejak dimuat naik dan menjadi tular di media sosial selepas ramai turut berkongsi serta bersimpati dengan nasib peniaga terbabit.

Sumber: KOSMO! ONLINE

Destination: