Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur - Hotel Pertama Tawar Pakej Penginapan & Iftar Harga 'Rahmah'!

TRAVEL
April 06, 2023 - 02:43 PM


Kalau sebelum ini ada Menu Rahmah dan Baju Raya Rahmah -- tetapi sekarang siap ada 'Hotel Rahmah' tau!

Terbaharu, Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur merupakan hotel pertama di negara ini yang menyertai inisiatif payung Rahmah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Melalui Pakej Rahmah itu, Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur menawarkan promosi "Pakej Penginapan dan Iftar" yang merangkumi penginapan dua hari satu malam di Bilik Standard termasuk sahur serta iftar untuk 2 orang pada harga RM250 sahaja.

Harga bagi setiap pengunjung yang ingin menikmati ruangan bilik yang lebih luas iaitu di kategori pilihan di hotel seperti Bilik Deluxe, Bilik Junior Suite, Bilik Executive Suite ataupun kategori pilihan di Residence seperti Satu, Dua atau Tiga Bedroom Residence -- cas tambahan hanya RM50 akan dikenakan bagi setiap permintaan untuk naik taraf kategori pilihan.

Sementara itu, lebih 45 jenis pilihan hidangan bakal disajikan kepada para pengunjung yang membeli Pakej Rahmah bersama Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur.

Lokasi Bufet Pakej Rahmah bersama Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur di Restoran Tamu Junction Place, di Aras Lobi bermula pada jam 6.30 petang sehingga tamat waktu berbuka iaitu pada jam 9.30 malam.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata inisiatif ini sebagai salah satu tawaran yang sangat berbaloi untuk dinikmati oleh setiap lapisan golongan masyarakat bukan sahaja tertumpu pada golongan B40 sahaja.

“Kalau harga standard bagi Bufet Ramadan di hotel ini RM169 bagi satu kepala, bilik pula lebih RM450 sehari.

“Tapi dengan pakej ini, hanya RM250 sahaja, ini sangat berbaloi, sambil bercuti dan membeli-belah, boleh menginap di sini dengan harga Rahmah siap pakej berbuka puasa dan sahur,” katanya.

Tambahnya, Tamu antara hotel yang terawal menerima pelawaan KPDN untuk melaksanakan inisiatif ini selepas beberapa siri perbincangan dengan pihaknya.

Ujar beliau, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh industri sektor perkhidmatan khususnya hospitaliti di negara ini untuk menggalakan rakyat Malaysia berbelanja dengan berpatutan menjelang musim perayaan.

“Pengguna juga dapat merasai menginap di hotel bertaraf empat bintang dan menikmati menu iftar dengan harga yang berpatutan,” katanya lagi.

Jadi jangan lepaskan peluang ini. Cepat membuat tempahan sebelum penuh --http://www.wasap.my/60193039360/IftarRahmahatTAMUHOTEL

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: