5.8 Juta Pengundi Undi18 Didaftarkan, Korang Boleh Semak Maklumat Bermula 1 Oktober

TERKINI
September 30, 2021 - 03:16 PM


Sejumlah 5.8 juta pe­milih berumur 18 tahun dan ke atas sudah didaftarkan dan korang boleh melakukan semakan dan pengesahan diri sebagai pengundi secara automatik ber­mula esok sehingga 31 Oktober.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR akan mempamerkan maklumat pemilih terlibat melalui pro­ses Semakan Pra-Pendaftaran Pemilik Automatik (SPPA) itu. 

"Sekiranya bakal pemilih tidak lagi tinggal di alamat yang dipaparkan, bakal pemilih dinasihatkan untuk mengemas kini alamat kad pengenalan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2021," katanya. 

SPR akan mempamerkan maklumat bagi sejumlah 5.8 juta bakal pemilih dan memberi peluang kepada mereka untuk menyemak dan mengesahkan rekod dengan SPR.

Urusan Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) boleh dibuat melalui dua kaedah berikut:

(a) Membuat semakan menggunakan aplikasi MySPR SPPA di pautan https://mysprsppa.spr.gov.my; atau

(b) Hadir ke 604 tempat semakan SPPA di seluruh negara dan mengimbas Kod QR Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai SPPA, orang ramai boleh hubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau layari portal www.spr.gov.my.