19 Nov Rakyat Malaysia Mengundi Tapi Jika Banjir SPR Ada Kuasa Ubah & Tangguh Tarikh Pengundian

TERKINI
October 20, 2022 - 01:23 PM


Teka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 kini sudah terjawab.

Pada Khamis (20 Oktober) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh-tarikh penting itu adalah seperti berikut :-

  • PENAMAAN CALON = 5 November (Sabtu)
  • UNDI AWAL = 15 November (Selasa)
  • HARI PENGUNDIAN = 19 November (Sabtu)

RAKYAT MALAYSIA BAKAL MENGUNDI DALAM KEADAAN BANJIR?

Bagaimanapun melihat kepada tarikh pengundian iaitu melepasi pertengahan bulan November di mana dijangka mula berlakunya banjir akibat peralihan angin monsun, adakah kemungkinan rakyat Malaysia bakal berdepan dengan pengalaman pertama mengundi dalam keadaan banjir?

SPR MILIKI KUASA UNTUK UBAH & TANGGUH TARIKH PENGUNDIAN SEKIRANYA BANJIR

Seperti laporan Astro Awani yang memetik bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menangguhkan proses pengundian serta mengubah ke tarikh baharu untuk pengundian di sesuatu lokaliti sekiranya berlaku insiden atau bencana tidak diingini.

Mengambil contoh sekiranya sesuatu Pusat Mengundi itu dinaiki air banjir yang menyulitkan proses pengundian, maka ia boleh ditangguhkan ke suatu tarikh baharu.

"Di bawah Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, ia beri kuasa kepada SPR untuk mengubah tarikh pengundian dan menangguh proses pengundian.

"Kalau ditakdirkan malam sebelum hari mengundi, Pusat Mengundi itu dinaiki air, jadi ia mustahil untuk pengundi keluar dan jejaskan prosesnya. Maka SPR ada kuasa untuk tetapkan tarikh lain bagi Pusat Mengundi itu sahaja," katanya.

Jelas beliau, penangguhan juga dibolehkan sekiranya sesebuah Pusat Mengundi itu dinaiki air pada hari pengundian -- maka SPR mempunyai kuasa untuk menangguhkannya.

Penangguhan pengundian pula hanya dilakukan di satu-satu lokaliti yang terkesan sahaja dan tidak menjejaskan seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Semestinya ia juga melibatkan tatacara yang perlu diikuti bagi memastikan proses penangguhan berjalan lancar.

"Bila penangguhan dibuat ada tatacara rapi yg perlu dibuat di hadapan wakil calon seperti cara menutup peti undi, disaksikan oleh wakil setiap calon, dan ditempatkan di tempat yang selamat.

"Apabila tiba hari pengundian semula, maka proses sama akan dilakukan di hadapan wakil-wakil calon, ia bagi memastikan proses berjalan lancar dan dakwaan penipuan dan sebagainya," jelasnya.

Tambah Wan Ahmad, kuasa untuk menentukan penangguhan itu diberikan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di setiap Parlimen.

FAKTA PENTING TENTANG PRU15

  • PRN Pahang, Perak, Perlis : Penamaan calon pada 5 Nov, pengundian 19 Nov
  • PRK DUN Bugaya: Penamaan calon pada 5 Nov, pengundian 19 Nov
  • Seramai 21,173,638 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRU15
  • PRU kali ini berbeza apabila beberapa DUN tidak dibubarkan iaitu Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak kerana belum mencapai tempoh matang.
  • 3 negeri di bawah pentadbiran PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah & 3 negeri di bawah Pakatan Harapan iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga tidak membubarkan DUN masing-masing.
  • Hanya Perak, Pahang dan Perlis yang membubarkan DUN masing-masing untuk mengadakan PRN serentak dengan PRU15.
Destination: