Tidak Pernah Setuju Gambarnya Digunakan, Bayi Penghias Kulit Album Nirvana Tuntut RM630,000

TERKINI
August 26, 2021 - 05:12 PM


Mesti korang biasa tengok gambar penghias kulit depan album Nevermind oleh kumpulan Nirvana ni kan? 

Bayi di dalam gambar tersebut, yang kini berusia 30 tahun, Spencer Elden membuat tuntutan ganti rugi sebanyak AS$150,000 (RM630,000) daripada setiap defendan termasuk Universal Music Group, jurugambar, Kirk Weddle, pemain dram Nirvana Dave Grohl, pemain bass Nirvana, Krist Novoselic dan Courtney Love iaitu balu kepada penyanyi utama Nirvana, Kurt Cobain, yang meninggal dunia pada 1994.

Lapor BBC, Spencer Elden mendakwa gambar yang digunakan oleh Nirvana pada 1991 itu melanggar undang-undang dan tidak mendapatkan persetujuan daripada kedua-dua ibu bapanya, dan tuntutan itu dibuat atas kesalahan mengeksploitasi kanak-kanak kerana dirinya ditayangkan dalam keadaan berbogel di dalam gambar tersebut.

Elden yang kini berusia 30 tahun mendedahkan ibu bapanya tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian bagi membenarkan gambarnya digunakan pada kulit album tersebut dan peguam Elden, Robert Y. Lewis menjelaskan wang kertas AS yang diletakkan dalam gambar itu memberi mesej bayi itu seperti ‘buruh seks’.

Bagaimanapun, gambar bayi yang tidak diseksualkan secara am tidak dikategorikan sebagai pornografi kanak-kanak berdasarkan undang-undang Amerika Syarikat (AS).