Menara Alor Star Bakal Ada 'SkyBox' Sendiri, Sama Seperti Di Menara KL

PANAS
November 22, 2019 - 03:13 PM


Siapa yang pernah rasa pengalaman mendebarkan menaiki 'bilik kaca' atau SkyBox di Menara Kuala Lumpur? Seronok, kan walaupun rasanya gayat sangat!

Korang tahu tak yang Menara Alor Setar juga bakal mewujudkan bilik atau kotak kaca seperti SkyBox Menara KL bagi membolehkan para pengunjungnya menikmati pemandangan keseluruhan bandar raya itu dari atas udara.

Pembinaan pelantar terbuka di mercu tanda Alor Setar itu akan dimulakan secepat mungkin dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

Tarikan terbaharu itu pastinya akan memberikan suatu pengalaman menyeronokkan dan berbeza kepada pengunjung apatah lagi bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 yang diharap membantu menarik lebih ramai pelancong untuk Cuti-Cuti Malaysia ke Kedah.

Untuk rekod, SkyBox Menara KL dibina pada ketinggian 300 meter dan boleh memuatkan sehingga 6 orang pada satu-satu masa serta mampu menampung berat sehingga 600 kilogram.

Ramai pelancong tempatan dan luar negara yang suka mencabar keberanian dan mengatasi gayat mereka semata-mata untuk bergambar cantik berlatarbelakangkan pemandangan indah bangunan pencakar langit yang ada di ibu negara.

Jadi tidak mustahil juga jika Menara Alor Setar mempunyai SkyBoxnya sendiri, lebih ramai orang akan singgah untuk menerokai panorama sekeliling yang menakjubkan.

Diharap sasaran untuk meraih kunjungan kira-kira 6 juta pelancong ke Negeri Kedah juga bakal terlaksana dengan adanya tarikan terbaharu itu nanti.

Sumber: Bernama

 

Destination: 
;