Mahawangsa River Cruise, Produk Pelancongan Baru Negeri Kedah Yang Rugi Tak Cuba!
TERKINIJika Melaka terkenal dengan 'Melaka River Cruise' yang popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa, Negeri Jelapang Padi pun kini tidak ketinggalan memperkenalkan produk pelancongan sama iaitu 'Mahawangsa River Cruise'!
Aktiviti pelayaran menelusuri Sungai Anak Bukit di Alor Setar, Kedah ini mula beroperasi pada bulan Oktober lepas dan merupakan pilihan tepat untuk mereka yang ingin merasai pengalaman belayar di sungai pada waktu siang atau malam bagi menikmati sendiri landskap bandaraya ini daripada sisi yang berbeza.
Pemilihan Sungai Anak Bukit dibuat berdasarkan lokasinya yang strategik untuk aktiviti pelayaran, di samping mempunyai tarikan tersendiri seperti sungainya mengalir melalui bandaraya Alor Setar, dihubungkan oleh Sungai Kedah ke muara Kuala Kedah dan sebahagian sungai berkenaan mengalir di belakang Istana Anak Bukit yang merupakan tempat bersemayam Sultan Kedah sekeluarga.
Malah sungai tersebut juga mempunyai latar belakang sejarah yang boleh diceritakan kepada para pengunjung memandangkan ia pernah menjadi laluan pengangkutan air yang sangat penting pada zaman dahulu.
Jika ke sini, pengunjung akan mula belayar dari jeti bersebelahan Muzium Negeri Kedah dikendalikan kapten terlatih dan sepanjang menelusuri sungai, mereka dapat menyaksikan pelbagai warisan, budaya, alam semulajadi, haiwan dan struktur yang menjadi mercu tanda bandaraya ini.
Atau dalam kata lain, anda akan dibawa menelusuri sungai Anak Bukit hingga ke Alor Merah, Jambatan Sultanah Bahayiah, Tokong Sayur Rumah Berhala Tow Boo dan berakhir di Jambatan Tambang Badak.
Sejak dibuka 2 bulan lepas, sambutan yang diterima Mahawangsa River Cruise sangat memberangsangkan apabila lebih 2,000 pengunjung dari negeri lain serta pelancong luar negara mengambil pakej yang ditawarkan.
Terdapat 4 buah pakej yang boleh dipilih oleh pengunjung, iaitu:-
1) Mahawangsa River Cruise (MRC) = Dari 9.30 pagi - 12 tgh hari, selama 30 minit
2) Boat Joy Ride = Dari 12 tgh hari - 6 petang, selama 10 minit
3) Sunset Cruise = Dari 6.30 petang - 7.30 malam, selama 15 minit untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam
4) Night Safari Cruise = Dari 8 - 9 malam, selama 15 minit untuk menikmati pemandangan di waktu malam
Harga untuk pakej-pakej tersebut, boleh rujuk gambar di bawah ini.
Maklumat lanjut pula boleh didapati di laman Facebook Mahawangsa River Cruise atau hubungi 019-976 8608.
Kredit: Bernama & FB Mahawangsa River Cruise