Jangan Buat Vandalisme Di Saloma Link, Anda Dipantau Penguat Kuasa DBKL!

PANAS
February 17, 2020 - 04:05 PM


Siapa antara korang yang dah pergi berjalan-jalan di ikonik baharu Kuala Lumpur iaitu Pintasan Saloma atau Saloma Link?

Selepas dibuka secara rasmi awal Februari ini, nampaknya semakin ramai pengunjung tempatan dan pelancong luar negara singgah bergambar cantik di mercu tanda tersebut hingga feed media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter penuh viral dengan foto-foto cantik Saloma Link pada waktu malam dan juga siang hari.

Namun, tidak tahu di mana silapnya, setiap kali ada tarikan baharu yang diwujudkan di negara kita, pasti ada juga 'tangan-tangan gatal' yang merosakkannya seperti mana yang berlaku kepada Taman Tasik Titiwangsa yang berwajah baharu.

Begitu juga dengan Saloma Link yang dilaporkan telah menjadi 'mangsa' vandalisme, pembuangan sampah sarap secara merata dan ‘sarang’ baharu golongan gelandangan.

Bagi mengelakkan lokasi tumpuan pelancong itu musnah oleh perbuatan tidak bertanggungjawab, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menempatkan anggota penguat kuasanya di Saloma Link.

Kira-kira 100 anggota penguat kuasa akan bertugas melibatkan 4 shif bagi memantau jambatan pejalan kaki berkenaan serta kawasan berdekatan seperti Jalan Saloma, Jalan P. Ramlee dan Kampung Baru, selain langkah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Malah mereka juga akan memastikan kawasan tersebut bebas daripada golongan gelandangan dengan membawa mereka ke rumah transit berdekatan.

Pintasan Saloma, jambatan pejalan kaki sepanjang 370 meter menghubungkan Kampung Baru dan kawasan berdekatan Menara Berkembar Petronas (KLCC) baru sahaja dibuka kepada umum awal bulan ini.

Tidak sampai sebulan, binaan ikonik itu telah meraih kunjungan ramai yang tertarik dengan konsep binaannya yang unik berinspirasikan 'Sirih Junjung' serta dihiasi 4,100 lampu LED berwarna-warni.

Sumber: Bernama & Kredit Foto: Twitter

Destination: 
;