Wow! Kuala Lumpur Muncul Bandar Kedua Paling Mesra Di Dunia

TERKINI
August 16, 2019 - 02:46 PM


Selain tampil istimewa sebagai sebuah negara berbilang kaum dan hidup dalam aman damai, Malaysia juga terkenal sebagai destinasi pelancongan yang sering menjadi pilihan pengunjung antarabangsa kerana keramahan penduduknya.

Tidak hairanlah, baru-baru ini Kuala Lumpur dinobatkan di tempat kedua sebagai "Bandar Paling Mesra Di Dunia" oleh sebuah laman web pelancongan global iaitu Big 7 Travel.

Ia berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap kira-kira 1.5 juta orang, yang mendapati bahawa rakyat Malaysia sememangnya mudah mesra dan tidak kekok dengan warga asing.

Kemesraan dan sikap ramah penduduk tempatan terhadap pengunjung membuatkan mereka mudah untuk membuat teman serta bersahabat dengan warganegara Malaysia.

“KL ialah destinasi utama untuk kedua-dua pelancong dan ekspatriat,” tulis Big 7 Travel di laman webnya.

Ibu negara Malaysia menduduki tempat kedua selepas bandar Vancouver, Kanada daripada 50 bandar mesra di dunia. 

Bandar lain yang tersenarai sebagai 10 teratas bandar mesra di dunia ialah Bruges, Belgium (tempat ketiga), Taipei, Hamburg, Dublin dan Christchurch.

Manakala negara jiran kita yang tersenarai dalam 50 bandar mesra itu termasuklah bandar Chiang Mai (ke-11), Siem Reap (ke-20), Singapura (ke-24) dan Ho Chi Minh (ke-46).

Big 7 Travel juga menyatakan bahawa bandar-bandar yang tersenarai ini membuatkan mereka yang melancong ke bandar berkenaan berasa amat dialu-alukan berdasarkan keramahan penduduk tempatan apabila mereka meminta bantuan.

Pada awal tahun ini, laman web tersebut turut menyenaraikan Malaysia antara top 20 bandar 'Insta-worthy'.

Ini membuktikan Malaysia masih menjadi destinasi pelancongan wajib pergi bagi kaki travel dunia!

Sumber: Big 7 Travel