Pulau Pangkor Belum Bersedia Terima Pelancong

PANAS
September 08, 2021 - 06:43 PM


Geng yang rindukan Pulau Pangkor, nampaknya kena tunggu lama lagi...

Pulau Pangkor masih lagi belum bersedia untuk menerima kedatangan pelancong di bawah Program COVID-19 Free Destination atau Destinasi Bebas COVID-19, Fasa Kedua Pelan Pemulihan Pelancongan (TRP).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelancongan Perak yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad semalam.

Menurut beliau, pada waktu ini Pulau Pangkor masih belum dapat dijadikan sebagai Destinasi Bebas COVID-19 memandangkan terdapat beberapa kriteria yang masih perlu dipenuhi.

Bagaimanapun, kata beliau, proses vaksinasi COVID-19 ke atas penduduk di Pulau Pangkor ketika ini berjalan lancar dan hampir mencapai kadar 100 peratus.

“Kita telah capai hampir 100 peratus kadar vaksinasi akan tetapi kadar berkenaan masih belum cukup untuk mencapai pada tahap imuniti kelompok.

“Jadi kita menjangkakan perkara berkenaan boleh dicapai pada penghujung September ini,” kata Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi

Pada Julai lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Syukri berkata, program Destinasi Bebas COVID-19 Fasa Kedua Pelan Pemulihan Pelancongan diperluaskan ke pulau-pulau peranginan yang menjadi tumpuan utama pelancong seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan beberapa lagi pulau.

Sementara itu, Nolee berkata, simposium secara maya anjuran People of Remarkable Talents (PORT) akan berlangsung pada 1 Oktober depan dengan tema ‘Muzik Nusantara: Menelusuri Tradisi dan Kontemporari’ menggabungkan seniman tanah air, Datuk M Nasir dan dari Indonesia seperti Dwiki Dharmawan.

Katanya program simposium muzik tahunan edisi ketiga bersama Gerakan Seni Ipoh itu turut mendapat kerjasama Cultural Economy Development Agency (Cendana) dan Tourism Perak.

Selain simposium, program selama tiga hari itu akan turut dijadualkan beberapa acara lain seperti forum, bengkel, sidang meja bulat dan sebuah konsert khas yang bakal dijayakan oleh artis tersohor dan bintang baharu.

Destination: 
Artikel berkaitan