Nak Mudah Rancang Percutian Tahun Depan? Rujuk E-Kalendar TMM2020!

TERKINI
November 21, 2019 - 12:09 PM


Bagi memudahkan pelancong dalam dan luar negara merancang percutian masing-masing bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020, satu e-Kalendar yang memaparkan semua acara yang bakal berlangsung di seluruh negara bakal dipaparkan oleh pihak Tourism Malaysia.

Ketika ini, mereka sedang dalam proses mengumpul semua acara yang dijadualkan berlangsung di setiap negeri --- melibatkan pelbagai aktiviti seperti pelancongan, seni budaya, hari kraf, acara sukan dan sebagainya.

Dijangkakan lebih 250 acara bakal dimasukkan dalam e-Kalendar TMM 2020, yang boleh diakses oleh orang ramai menerusi laman sesawang https://www.malaysia.travel/en/my.

Antara acara pelancongan yang menarik disusun untuk tahun depan ialah Regatta Antarabangsa Langkawi, Ironman Langkawi dan Pesta Angin Timur di Perlis.

Menjelang TMM2020, Tourism Malaysia semakin rancak melaksanakan kempen promosi khususnya di luar negara dan yakin sasaran ketibaan 30 juta pelancong antarabangsa dengan nilai pendapatan RM100 bilion mampu dicapai.

Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini seramai 13.3 juta pelancong telah melawat Malaysia dengan pendapatan dijana berjumlah RM41.6 bilion.

P/S: Semoga dengan wujudnya e-Kalendar TMM2020 ni selain memudahkan pelancong luar negara, kita sebagai pelancong tempatan pun takkan ketinggalan untuk menyertai aktiviti menarik di seluruh negara.

Sumber: Bernama

Destination: