Pameran Firaun Ramses II & Raja Tut Di Muzium Negara Sempena TMM2020?

TERKINI
October 30, 2019 - 12:02 PM


Anda tak perlu lagi untuk terbang jauh-jauh ke Mesir bagi melihat sendiri makam Firaun serta artifak kuno yang terkenal di sana.

Ini kerana bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) sedang merancang untuk menganjurkan pameran makam dan artifak Firaun Mesir, Ramses II dan Tutankhamun yang lebih dikenali sebagai Raja Tut.

Pameran yang bakal diadakan di Muzium Negara itu bertujuan untuk menarik bukan hanya pengunjung tempatan bahkan pelancong dari negara-negara ASEAN, memandangkan setiap jelajah pameran melibatkan Ramses II dan Raja Tut biasanya menerima kunjungan pelawat yang tinggi.

Ketika ini khabarnya pihak MoTAC sedang dalam rundingan dengan Kerajaan Mesir mengenai pameran itu dan akan menganjurkan acara mengumpul dana dengan penaja serta badan korporat untuk menjadikannya realiti, tahun hadapan.

Untuk rekod, Muzium Negara menerima kunjungan antara 800,000 hingga satu juta pelawat setiap tahun.

Dalam Belanjawan 2020, MoTAC diberikan peruntukan RM1.1 bilion untuk Tahun Melawat Malaysia 2020, dengan sasaran ketibaan 30 juta pelancong dan penjanaan hasil berjumlah RM100 bilion menerusi sektor pelancongan.

Sumber: BERNAMA

Destination: