AirAsia Tawar Diskaun 20 Peratus Untuk Destinasi Domestik Hingga 9 Ogos Ini

TERKINI
August 03, 2020 - 05:28 PM


Ini ada satu berita baik bagi anda yang sedang mencari tiket penerbangan murah untuk cuti-cuti Malaysia!

Mulai hari ini (3 Ogos) hingga 9 Ogos, AirAsia menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus untuk semua tempat duduk bagi penerbangan domestiknya.

Tiket tersebut boleh digunakan untuk tempoh perjalanan antara 17 Ogos hingga 6 Disember tahun ini.

AirAsia juga turut memberikan fleksibiliti yang lebih baik bagi penumpang yang terbang hingga 31 Disember 2020 -- yang membolehkan penumpang mengubah tarikh penerbangan mereka dengan mudah pada bila-bila masa tanpa caj pertukaran penerbangan.

Para tetamu juga boleh menikmati lebih penjimatan melalui SNAP yang menawarkan diskaun tambahan sebanyak 25 peratus untuk penerbangan dengan jaminan nilai terbaik bagi kombo penerbangan dan hotel.

Kombo ini termasuklah penerbangan pergi balik dan penginapan hotel selama 3 hari 2 malam, seperti terbang serta menikmati penginapan di Vivanta Resort Langkawi, The Prestige Hotel Penang dan banyak lagi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata AirAsia telah merekodkan jumlah pelancong domestik yang memberangsangkan selepas ia menjual lebih daripada 500,000 tempat duduk pada bulan Julai, terutamanya pada waktu puncak hujung minggu lepas sempena cuti Hari Raya Aidiladha.

"Promosi ini juga tepat pada masanya untuk pelajar universiti, ibu, bapa dan pensyarah yang perlu melakukan perjalanan bagi semester yang akan datang.

"Kami meminta semua penumpang untuk mematuhi semua langkah keselamatan seperti selalu memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dan tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya 3 jam sebelum pesawat mereka berlepas," kata Riad.

Sumber: AirAsia

Destination: