Australia Tutup Pintu Sempadan Antarabangsa Sampai 17 Jun 2021

TERKINI
March 04, 2021 - 05:01 PM


Australia akan melanjutkan penutupan sempadan antarabangsa negaranya untuk sekurang-kurangnya tiga bulan lagi hingga pertengahan Jun nanti.

Keputusan untuk terus menutup pintu sempadan yang telah dimulakan sejak setahun lalu adalah bertujuan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Menteri Kesihatan Australia, Greg Hunt berkata para pegawai kesihatan telah menasihati pemerintah bahawa "situasi COVID-19 di luar negara terus menimbulkan risiko kesihatan awam kepada Australia, yang tidak dapat diterima, termasuk kemunculan jenis-jenis yang lebih mudah berjangkit".

Oleh itu, kawalan sempadan yang ketat akan berterusan hingga 17 Jun 2021.

Australia menutup sempadan antarabangsanya pada peringkat awal pandemik dan menyekat kemasukan kebanyakan pelawat asing kecuali dalam situasi tertentu.

Had juga dikenakan ke atas jumlah warga Australia yang dibenarkan pulang setiap minggu, menyebabkan puluhan ribu terkandas di luar negara.

Pelancong yang dibenarkan masuk ke negara itu mesti membelanjakan ribuan dolar untuk selesai menjalani kuarantin di hotel selama 14 hari sejurus ketibaan mereka.

Australia lebih berjaya mengawal penularan COVID-19 dengan hanya kurang daripada 29,000 kes yang disahkan dalam kalangan 25 juta penduduk dan dengan itu sekatan-sekatan virus kini berhasil dikurangkan.


Sumber: AFP
 

Destination: