Virgin Australia, Syarikat Penerbangan Pertama 'Tumbang' Akibat COVID-19

TERKINI
April 22, 2020 - 04:34 AM


Akibat pandemik COVID-19, tak dinafikan antara yang paling teruk terjejas pastinya syarikat-syarikat penerbangan dunia memandangkan banyak negara yang bertindak menutup pintu masuk dan keluar mereka.

Manakala Virgin Australia merupakan syarikat penerbangan pertama yang dilihat ‘tumbang’ tanpa bantuan menyelamat daripada kerajaan serta paling terkesan dengan tekanan pandemik berkenaan.

Dalam pengumumannya kepada Australian Stock Exchange (ASX), Virgin berkata, ia bercadang untuk mengekalkan operasi pesawat meskipun menyerahkan ‘kunci’ kepada pihak pentadbir.

"Keputusan kami ketika ini adalah untuk melindungi masa depan Virgin Australia Group dan dari satu bahagian lagi, keluar daripada COVID-19. Australia memerlukan syarikat penerbangan kedua dan kami tekad untuk terus terbang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Paul Scurrah dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu mempunyai hutang lebih A$5 bilion (RM13.9 bilion) dan memohon pinjaman A$1.4 bilion (RM3.89 bilion) untuk terus bertahan, tetapi kerajaan enggan menyelamatkan yang syarikat majoritinya sahamnya milik pelabur asing itu.

Namun, lebih 10 pihak menyatakan ‘minat bersungguh’ untuk menjadi sebahagian daripada rancangan penstrukturan semula.

Sebelum ini, syarikat penerbangan itu sudah menamatkan khidmat 8,000 daripada 10,000 kakitangan termasuk juruterbang, pembantu kabin dan kru lapangan.

Virgin menangguhkan semua laluan antarabangsa dan membatalkan semua kecuali salah satu laluan domestiknya setelah Australia menutup sempadannya bagi membendung penularan COVID-19 dan mengenakan sekatan pergerakan.

Syarikat penerbangan itu baru-baru ini mula mengendalikan laluan domestik yang terhad, serta penerbangan untuk membawa pulang warga Australia dari luar negara, dengan sokongan kewangan kerajaan.

Virgin berdepan kesukaran sebelum COVID-19, mencatatkan kerugian sebelum cukai A$71.2 juta tahun lalu.

Richard Branson, pengasas hartawan Virgin Group, yang memiliki 10 peratus kepentingan syarikat penerbangan itu, dalam ciapan tweeternya memberi sokongan kepada pasukan Virgin Australia.

“Saya berbangga dengan kamu dan semua yang kita capai bersama,” katanya.

“Ini bukan pengakhiran Virgin Australia, tetapi saya percaya permulaan baharu. Saya berjanji kita akan bekerja siang dan malam untuk menjadikan ini realiti,” katanya. 

Sumber: Berita Harian

Destination: