Bangkok Tukar Nama Rasmi Baharu, Terbelit Lidah Nak Sebut!

TERKINI
February 17, 2022 - 11:19 AM


Ibu negara Bangkok bakal bertukar nama rasminya kepada "Krung Thep Maha Nakhon"!

Perkara itu diumumkan Pejabat Diraja Thailand (ORST), lapor agensi berita Bangkok Post.

Kabinet pada Selasa meluluskan draf pengumuman Perdana Menteri berkenaan kemas kini nama negara-negara, wilayah, zon pentadbiran dan ibu negara, seperti yang disyorkan ORST.

Nama rasmi baharu, Krung Thep Maha Nakhon, bagaimanapun masih belum diguna pakai selagi tidak diteliti jawatankuasa yang menguruskan semua draf undang-undang.

Kabinet juga akan meminta panel jawatankuasa tersebut untuk mempertimbangkan pemerhatian lanjutan daripada Kementerian Luar.

Draf pengumuman ORST itu menyatakan Krung Thep Maha Nakhon akan menjadi nama rasmi bagi ibu negara Kerajaan Thailand. Bagaimanapun, nama Bangkok masih kekal sebagai sandaran rujukan.

Dalam pengumuman yang sama, ORST turut mengemas kini ejaan untuk merujuk kepada ibu negara Itali, Rom; ibu negara Myanmar dari Yangon ke Nay Pyi Taw; dan mengubah nama Nepal kepada Republik Persekutuan Demokratik Nepal.

Timbalan jurucakap kerajaan, Ratchda Dhanadirek pada Rabu memberitahu, tidak banyak yang berubah apabila nama baharu itu diperkenalkan.

Nama Thai, Krung Thep Maha Nakhon, hanya akan digunakan sebagai nama dan urusan rasmi bandar raya itu, sementara nama Bangkok masih ditulis dalam kurungan sebagai rujukan.

Di laman Facebook ORST, juga dinyatakan bahawa kedua-dua nama itu - Krung Thep Maha Nakhon dan Bangkok, boleh digunakan. Penjelasan itu dibuat selepas pengumuman perubahan itu mengundang kritikan awam.

Bangkok telah digunakan secara rasmi sejak November 2001 di bawah pengumuman ORST. Ia berasal dari kawasan lama Bangkok, yang kini merupakan sebahagian daripada wilayah metropolitan raya ibu negara, Bangkok Noi dan daerah Bangkok Yai. Berdasarkan sejarah, nama itu sudah diguna pakai sejak lama.

Sumber: Astro Awani

Destination: