Jangan Berjoging Di Kawasan Bukan Tempat Tinggal Anda Kalau Tidak Mahu Dikompaun

TERKINI
June 09, 2021 - 12:59 AM


Jikalau korang ada niat ingin berjoging di tempat selain kawasan rumah sendiri, lupakan saja niat itu. Beberapa hari yang lepas, ada 8 individu yang telah disaman oleh pihak polis kerana joging di tempat lain dari alamat rumah mereka. 

Pihak polis memeriksa IC setiap individu yang dikenakan kompaun tidak sama dengan kawasan mereka berada. Kompaun itu boleh dikeluarkan berdasarkan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, kata Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak dalam satu kenyataan.

Ketua Polis itu juga berkata, pegawai penguat kuasa berhak dan boleh periksa kad pengenalan seseorang bagi mengesahkan mereka berada di kawasan sendiri atau joging jauh dari kejiranan mereka. Maksudnya di sini, kalau korang duduk di Cheras tetapi berjoging di kawasan Ampang, korang telah dianggap melanggar peraturan SOP semasa PKP 3.0.

Kini polis Ampang Jaya sedang melakukan satu penyiasatan di media sosial berhubung dengan tuduhan palsu membabitkan kejadian joging itu. Laporan tersebut dibuat oleh salah seorang pegawai yang mengeluarkan kompaun itu.

Beberapa dakwaan dari pengadu mengatakan komen bersifat fitnah telah tular dan memberi persepsi negatif terhadap pengadu. Sejumlah 209 orang didenda dan tiga ditangkap sejak PKP 3.0 bermula pada 12 Mei, tambahan dari Farouk, Ketua Polis Ampang Jaya.

Seramai 66 orang lagi didenda sejak perintah sekatan penuh bermula pada 1 Jun. Pihak polis berharap dan menyeru semua masyarakat untuk teruskan menjaga diri dan mengikut peraturan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sumber: Free Malaysia Today