Bukan Lockdown Tetapi Perintah Kawalan Pergerakan; Ini Yang Patut Anda Tahu

TERKINI
March 17, 2020 - 10:35 AM


Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan atau Movement Control Order bermula esok, selama 14 hari iaitu (Rabu 18 Mac) sehingga 31 Mac 2020 di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19. 

Menurut kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam semalam, perintah kawalan 14 hari berkenaan dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Namun apa yang diperhatikan, ramai tersalah anggap dan menggunakan istilah ‘lockdown’ walhal apa yang dikuatkuasakan bukanlah lockdown tetapi hanya kawalan pergerakan. Ini sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan berkenaan;

Perintah larangan meliputi:

1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit, kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Khusus untuk umat Islam,

penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat  selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa

Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

 

2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari;

 

3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

 

4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk  sekolah harian, sekolah berasrama penuh,sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

 

5. Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran,kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Kredit : Bernama

Rangkuman ringkas adalah;

  • Segala perjumpaan / acara besar dilarang
  • Hanya kedai runcit, pasar raya dan premis penting dibenarkan buka
  • Restoran, tidak dibenarkan makan di restoran, hanya boleh bawa pulang atau perkhidmatan penghantaran makanan.
  • Tidak dibenarkan keluar negara untuk rakyat Malaysia, traveller luar disekat dari memasuki Malaysia
  • Penutupan semua institusi pelajaran
  • Penutupan semua isstitusi kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan penting seperti Air, Elektrik, dan pasukan keselamatan.