Coronavirus: AirAsia Batal Semua Penerbangan Ke Wuhan, China!
TERKINIDunia kini sedang meningkatkan tahap pengawasan yang tinggi terhadap penularan coronavirus di Wuhan, China.
Dan berdasarkan situasi semasa itu, AirAsia bertindak mengumumkan pembatalan semua penerbangannya dari Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket ke Wuhan, China sehingga 28 Januari ini.
AirAsia dalam kenyataan berkata, langkah berkenaan diambil sebagai mengikut nasihat dan peraturan dari pihak berkuasa kesihatan tempatan dan global, termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini (23 Jan) berkata, penumpang AirAsia yang kini berada di Wuhan perlu mematuhi pengumuman yang dibuat kerajaan China serta perlu menghubungi kedutaan masing-masing di negara berkenaan.
Bagi pelanggan yang ingin membuat pertukaran perjalanan, mereka boleh memilih untuk menukar mana-mana laluan dari China ke Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket tanpa sebarang kos tambahan, bergantung kepada kekosongan tempat duduk.
Ia tertakluk untuk penerbangan sehingga 29 Januari ini.
Selain itu, penumpang juga boleh mengekalkan harga tiket dalam akaun AirAsia BIG Loyalty untuk perjalanan akan datang dan boleh ditukar untuk tempahan dalam tempoh 90 hari. Ia juga tertakluk untuk semua penerbangan sehingga 29 Januari ini.
Sekiranya enggan membuat pilihan berkenaan, penumpang boleh mendapatkan pulangan bayaran penuh sekiranya penerbangan mereka dibatalkan.
Pilihan ini tertakluk untuk penerbangan sehingga 15 Februari 2020 dan penerbangan balik dari 16 hingga 29 Februari 2020.
Sementara itu, semua penumpang dan kru penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) perlu melalui ‘Thermal Scanner’ yang ditempatkan di sebuah lokasi sebelum kaunter pemeriksaan Imigresen sebagai tindakan berjaga-jaga.
Malah, sejak 4 Januari lalu, pihak berkuasa KKIA juga sudah mula menjalankan saringan kesihatan di pintu keluar pesawat selepas ‘aerobridge’ sebelum pemeriksaan Imigresen bagi penerbangan dari Wuhan.
Susulan penularan coronavirus, orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah pencegahan dalam kehidupan seharian dengan memakai topeng muka, membasuh tangan dengan sabun lebih kerap dan elakkan berada di tempat yang sesak.
Sumber: Harian Metro