COVID-19: Nak Masuk Thailand Kena Ada Sijil Kesihatan & Insurans USD100,000

TERKINI
March 20, 2020 - 04:07 PM


Mulai Ahad ini, semua travellers yang ingin memasuki Thailand perlu mengemukakan sijil kesihatan dan perlindungan insurans kesihatan tidak kurang daripada AS$100,000 atau RM438,000 sebelum menaiki pesawat ke negara itu.

Syarat terbaharu itu diumumkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Hanya pengembara dari 6 buah negara dan wilayah yang diklasifikasikan sebagai zon jangkitan penyakit serta 11 negara yang sedang berdepan dengan jangkitan tempatan Covid-19 perlu mengemukakan dokumen itu sebelum menaiki pesawat.

Menerusi langkah itu pengembara perlu mengemukakan sijil kesihatan yang dikeluarkan tidak lebih daripada 72 jam sebelum tarikh perjalanan bagi membuktikan mereka bebas daripada virus, beserta perlindungan insuran kesihatan minimum bagi Covid-19 tidak kurang daripada AS$100,000.

Bagi rakyat Thailand yang pulang ke tanah air, mereka perlu mengemukakan sijil kesihatan yang mengesahkan mereka boleh menaiki pesawat dan surat yang dikeluarkan oleh Kedutaan Thailand, Konsulat General atau Kementerian Luar.

Pengembara yang gagal mengemukakan dokumen berkenaan tidak akan dibenarkan menaiki pesawat.

Penumpang juga perlu menyediakan maklumat mengenai alamat di Thailand dalam Borang T8 atau borang permohonan “AOT Airport of Thailand” dan sejurus tiba di lapangan terbang, penumpang perlu mengemukakan sijil kesihatan, polisi insurans, Borang T8 kepada pegawai kawalan penyakit berjangkit.

Ketibaan akan tertakluk kepada pengasingan, kuarantin, diletakkan di bawah pemerhatian atau sebarang langkah lain untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Setakat ini, Thailand telah merekodkan sebanyak 272 kes COVID-19 dengan 1 kematian.

Sumber: Harian Metro

Destination: