COVID-19: Sistem 'Autogate' Di Pintu Masuk Negara Ditutup Sementara

TERKINI
March 05, 2020 - 12:10 PM


Sebagai langkah berjaga-jaga bagi menangani penularan jangkitan COVID-19, semua operasi sistem 'Autogate' di pintu masuk negara telah ditutup sementara bermula semalam (4 Mac 2020).

Selain Autogate, E-Gate Warga Asing (NERS) dan E-Gate Malaysian Automated Clearance System (MACS) juga turut dihentikan operasinya bagi mengawal ketat pergerakan keluar masuk rakyat Malaysia serta pelancong luar yang berkunjung ke negara ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud ketika dihubungi oleh agensi berita nasional, Bernama.

Sementara itu, sehingga 12 tengah hari Rabu (4 Mac), terdapat 14 kes baharu COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kes positif di Malaysia meningkat kepada 50 kes. 

Setakat ini, pihak Kerajaan belum bercadang untuk meluaskan sekatan perjalanan sedia ada dan hanya mengeluarkan nasihat perjalanan sahaja.

Pada masa ini, Malaysia mengenakan sekatan perjalanan untuk pelawat dari 3 wilayah di China iaitu Wuhan, Zhejiang dan Jiangsu.

Sementara bagi warganegara Korea Selatan, sekatan perjalanan hanya dikenakan ke atas mereka yang datang dari bandar Daegu dan daerah Cheongdo sahaja.

Sumber: Bernama

Destination: