Elak Isu Suntikan Kosong, Rakyat Kini Diberi 'Lampu Hijau' Rakam Gambar/Video Masa Vaksin!

TERKINI
July 23, 2021 - 06:24 PM


Bagi mengelak salah faham mengenai kes kecuaian suntikan vaksin -- kini rakyat diberi kebenaran untuk membuat rakaman gambar atau video ketika menerima suntikan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dalam sidang media harian Program PICK bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba di Putrajaya pada Jumaat.

Jelas Khairy, kebenaran rakaman itu adalah bagi memastikan setiap penerima mempunyai bukti kukuh mendapat kadar vaksin yang sempurna.

"Untuk tidak berlaku apa-apa keraguan, saya telah mengarahkan pertamanya seperti biasa kita pastikan SOP sedia ada untuk (petugas kesihatan) tunjuk penerima vaksin picagari sudah diisi kuantiti (vaksin) sempurna sebelum suntikan.

"Kedua, kebenaran dari saya dan Menteri Kesihatan, kalau ada arahan tidak diberikan kemudahan ini, penerima vaksin boleh video penerimaan suntikan mereka.

"Anda boleh rakamkan video diri anda menerima vaksin, jadi anda dan kami mempunyai bukti kukuh bahawa vaksin yang sempurna telah diberikan," jelas Khairy.

Tambahnya, kebenaran itu juga diberikan agar tidak menganggu perjalanan program PICK ketika ini. Malah semangat serta sokongan moral kepada petugas kesihatan juga tegasnya perlu dijaga.

"Saya mahu anda (petugas kesihatan) tahu, bahawa saya sentiasa ada di belakang anda. Ini cuma satu atau dua kes kecuaian manusia, ia tidak boleh menyebabkan segala susah payah dan kerja keras anda semua tidak bermakna.

"Terima kasih semua petugas barisan hadapan," jelasnya lagi.

Untuk rekod, baru-baru ini kecoh di media sosial apabila viral video mendakwa petugas kesihatan tidak menyuntik vaksin itu selepas memasukkan jarum picagari ke lengan penerima.

Bagaimanapun, tindakan tatatertib sudah diambil terhadap petugas di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Kedah berhubung isu suntikan vaksin kosong tersebut yang dipercayai akibat kecuaian.

Sumber: Astro Awani

Destination: