Feri Pulau Pinang Bakal Berakhir 31 Disember Ini & Diganti Dengan Bot Katamaran?

TERKINI
December 14, 2020 - 03:07 PM


Bagi siapa yang suka melancong atau jalan-jalan cari makan di Pulau Pinang, pastinya pernah merasai pengalaman menaiki feri di sana yang sememangnya menjadi ikonik bagi 'Pulau Mutiara' itu.

Namun beberapa hari ini heboh di media sosial yang mendakwa perkhidmatan feri yang telah wujud sejak tahun 1894 bagi menghubungkan Butterworth dan Georgetown itu -- dikatakan bakal berakhir menjelang 31 Disember ini.

Perkhidmatan feri yang tertua di Malaysia itu dikhabarkan akan digantikan dengan perkhidmatan feri laju seperti yang digunakan di Pulau Langkawi.

Bagaimanapun menurut laporan Berita Harian, perkara tersebut tersebut merupakan cadangan daripada Kerajaan Persekutuan yang sedang mempertimbangkan untuk menggantikan perkhidmatan feri Pulau Pinang dengan bot katamaran.

Namun, sehingga kini cadangan menggunakan bot katamaran itu masih belum diperincikan kepada orang awam termasuk jenis bot yang akan digunakan.

Banyak pihak yang meminta untuk Kerajaan agar mempertimbangkan semula cadangan tersebut kerana mereka melihat penggunaan bot katamaran walaupun ia sebuah pengangkutan moden, namun bot tersebut tiada ruang bagi penumpang berkenderaan ringan seperti motosikal, kereta dan van sepertimana feri Pulau Pinang yang ada ketika ini.

Bahkan, ramai yang menyifatkan perkhidmatan pengangkutan awam laut yang ikonik itu perlu ditingkatkan kualiti serta perkhidmatan dan bukan ditamatkan begitu sahaja.

Kredit: TheSmartLocal

Bagi ramai netizen, pengalaman menaiki feri Pulau Pinang ketika bercuti di sana sememangnya suatu kenangan manis dan berharga yang akan sangat dirindukan sekiranya cadangan menggantikan perkhidmatan tersebut benar-benar menjadi kenyataan.

Jadi, ramai juga yang memberikan nasihat kepada orang ramai yang belum merasai pengalaman menaiki feri berkenaan supaya berbuat demikian dengan secepat mungkin sebelum ia bakal berakhir pada hujung bulan ini dan boleh dijadikan gambar kenangan 2020!

Sumber: Penang Press & Berita Harian

 

Destination: