"Dah La Baru, Murah Pula Tu" - Tambang Feri Baru Pulau Pinang Hanya RM1 Hingga RM2.50 Sehala

TERKINI
September 07, 2023 - 05:02 PM


Kadar tambang perkhidmatan feri baharu di Pulau Pinang yang akan dikenakan kepada penumpang berkuat kuasa hari ini (7 September) bermula pada harga serendah RM1 hingga RM2.50 sehala.

Penang Port Sdn Bhd (PPSB) selaku syarikat pengendali perkhidmatan tersebut dalam kenyataan semalam memaklumkan tambang RM1 itu akan dikenakan kepada individu atau pejalan kaki yang berusia 12 tahun ke bawah manakala penumpang dewasa atau individu berusia 12 tahun ke atas sebanyak RM2.

"Penunggang basikal yang menaiki feri juga akan dikenakan caj sebanyak RM2 manakala penunggang motosikal sebanyak RM2.50.

"Bayaran tambang itu dikenakan di kedua-dua terminal di Pangkalan Raja Tun Uda di bahagian pulau dan Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth iaitu untuk masuk ke bahagian atau keluar ke bahagian pulau negeri ini," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan tambang feri baharu itu mencerminkan komitmen dan usaha PPSB ke arah penambahbaikan berterusan untuk semua penumpang di samping menyokong peningkatan kemudahan perkhidmatan feri.

PPSB memaklumkan matlamat pihaknya adalah untuk menyediakan perjalanan yang selamat, mudah serta menyeronokkan untuk semua orang dan perubahan berkenaan memainkan peranan penting dalam mencapai objektif tersebut.

Menurut kenyataan itu, PPSB juga akan memperkenalkan pas bulanan bermula hari ini (7 September) yang menawarkan diskaun kepada pengguna feri.

"Inisiatif ini secara tidak langsung bertujuan memberikan nilai tambah dan kemudahan kepada pengguna setia kami," menurut PPSB.

Sebelum ini, orang ramai diberi peluang untuk merasai sendiri perkhidmatan feri baharu yang beroperasi secara ulang-alik di Pangkalan Sultan Abdul Halim dan Pangkalan Raja Tun Uda secara percuma selama sebulan bermula 7 Ogos lepas.

Sumber: BERNAMA

Destination: