Festival Bukit Bendera 2020 Yang Dijadual Julai Ini, Ditangguhkan!

PANAS
May 14, 2020 - 02:56 PM


Sebut sahaja Bukit Bendera pasti ramai yang membayangkan suasana sejuk di tanah tinggi, pemandangan semulajadi yang menarik dan pengalaman menaiki keretapi kabel.

Setiap tahun, pasti ramai juga yang teruja untuk menyertai Festival Bukit Bendera yang mempromosikan kekayaan hutan serta kehijauan alam sekitar.

Namun, Festival Bukit Bendera 2020 yang dijadualkan pada Julai ini -- ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan diumumkan kelak, berikutan wabak COVID-19.

Perbadanan Bukit Bendera dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan festival tersebut yang biasanya berjaya meraih kunjungan puluhan ribu pelawat dari dalam dan luar negara akan dijadualkan semula, tertakluk kepada pematuhan garis panduan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan pihak berkuasa yang berkenaan.

Festival Bukit Bendera itu dijadualkan berlangsung mulai 16 hingga 19 Julai untuk meraikan sejarah, alam semula jadi dan warisan budaya Bukit Bendera.

"Penangguhan berkenaan adalah langkah untuk melindungi pengunjung, peserta pameran dan penyokong PHF2020 susulan pandemik COVID-19 di seluruh dunia sekarang," menurut kenyataan itu.

Sumber: Bernama

Destination: