Pulau Pinang Negeri Pertama Perkenal Akreditasi Selamat Dari Wabak Di Lokasi Pelancongannya
TERKINIBiarpun ketika ini Kerajaan telah melonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang memberi kebebasan untuk kita melakukan banyak aktiviti seperti pelancongan domestik, namun diakui masih ada segelintir masyarakat yang masih ragu-ragu dan risau untuk keluar berjalan-jalan.
Jika anda salah seorang daripada golongan itu, mungkin anda mahu mempertimbangkan untuk bercuti ke Pulau Pinang kerana negeri tersebut merupakan negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan inisiatif 'Program Akreditasi Keselamatan COVID-19' -- yang memastikan hotel, destinasi tarikan pelancong serta pusat beli-belah mematuhi standard kebersihan dan keselamatan yang ketat!
Akreditasi ini dikeluarkan untuk bangunan dalam industri pelancongan yang perlu mematuhi standard kebersihan dan keselamatan yang ketat dan ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan seperti PETACH, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaran Seberang Perai (MBSP) dan Penang Global Tourism (PGT).
Sebelum memperoleh akreditasi keselamatan COVID-19 dari PETACH, pihak berkuasa terlibat akan melakukan audit menyeluruh untuk memastikan semua piawaian dipatuhi.
Hanya mereka yang telah memenuhi piawaian akreditasi keselamatan COVID-19 sahaja akan diberikan lambang atau logo rasmi untuk dipamerkan di premis mereka dan logo ini boleh digunakan dalam tujuan iklan dan bahan promosi.
Jadi jika anda berasa was-was tentang risiko jangkitan wabak, mungkin anda akan lebih yakin jika bercuti ke Pulau Mutiara itu dan cari lokasi pelancongan yang mempunyai logo akreditasi keselamatan COVID-19.
Sumber: Bernama