Hari Raya Aidilfitri Jatuh Pada 2 Mei? Ini Penjelasannya!

TERKINI
April 27, 2022 - 02:51 AM


Dakwaan seorang individu, seperti yang disiarkan dalam sebuah portal bahawa Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan disambut pada Isnin, 2 Mei, adalah tidak tepat, menurut kenyataan Balai Cerapan Al-Khawarizmi hari ini.

Agensi di bawah Jabatan Agama Islam Melaka dalam satu kenyataan berkata, sebarang pemakluman awal adalah tidak benar, sehingga hasil keputusan rukyah pada 29 Ramadan 1443 H diterima dan selesai dilakukan.

Menurut kenyataan itu lagi, kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab), dan akan dilakukan pada petang 29 Ramadan 1443 H di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di seluruh Malaysia.

“Hasil keputusan rukyah akan dilaporkan pada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja- Raja. Hasil keputusan rukyah akan dilaporkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja - Raja pada malam 29 Ramadan 1443 H.

“Keputusan kenampakan hilal akan diumumkan pleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu seorang individu bernama A Zaharim A Aziz mendakwa data yang diperoleh daripada Pejabat Almanak Nautika Baginda (UK) menunjukkan ketinggian dan pemanjangan anak bulan baharu pada waktu matahari terbenam bagi Kuala Lumpur adalah masing-masing 5 darjah dan 7 darjah.

“Ini bermakna dengan kaedah Imkanur Rukyah, hilal baharu kelihatan walaupun tidak dapat dilihat kerana cuaca buruk.

“Oleh itu, selepas proses pengesanan selesai, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hendaklah mengisytiharkan bahawa 2 Mei 2022 (Isnin) adalah 1 Syawal 1443H, sehari lebih awal daripada tarikh yang dinyatakan dalam kalendar rasmi,” menurut kenyataan individu tersebut, seperti yang disiarkan dalam sebuah portal tempatan.

Destination: