Hati-hati! Akibat Tiket Palsu VTL Singapura Ramai Rakyat Malaysia Ditipu!

TERKINI
March 02, 2022 - 01:36 PM


Ratusan rakyat Malaysia yang berada di Singapura dan terdesak untuk pulang ke tanah air melalui inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Bukan sahaja terpaksa mendapatkan tiket bas untuk pulang di bawah skim itu pada harga berlipat kali ganda tetapi mereka juga hanya menyedari tiket terbabit palsu ketika hendak pulang pada hari kejadian.

Pengerusi Persatuan Pekerja Malaysia di Singapura Negeri Johor (Pemas), S. Dayalan berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung kejadian itu sejak lebih sebulan lalu.

Menurut beliau, harga tiket yang asalnya adalah 15 dolar Singapura (SGD) dijual kepada rakyat Malaysia dengan harga antara 100 hingga 200 SGD sekeping.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.

Pemas turut mempersoalkan mengapa jumlah pengembara yang pulang tidak memenuhi kuota ditetapkan iaitu sekitar 1,000 pengembara sehari sedangkan tiket dikatakan telah habis terjual.

Sehubungan itu, pihaknya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera dengan meminta bantuan pihak berkuasa negara jiran sekiranya dalang penipuan tiket VTL tersebut turut melibatkan warganegara Singapura sendiri.

Sumber: Utusan

Destination: