VTL Malaysia-Singapura Dibuka Semula, Tiket Laluan Udara & Darat Mula Dijual Hari Ini

TERKINI
January 21, 2022 - 11:41 AM


Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura dibuka semula berkuat kuasa serta-merta, selepas penilaian risiko dilaksanakan berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, namun buat masa ini, kuota tiket yang dijual bermula hari ini dikurangkan 50 peratus daripada kuota sedia ada bagi kapasiti bas dan penerbangan.

“Bagaimanapun bagi penumpang yang telah pun membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Januari sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat, mereka dibenarkan  meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif ini mengikut kuota yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket ini bergantung kepada penilaian risiko yang akan dilakukan dari semasa ke semasa secara berterusan Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Khairy berkata, pengembara yang menggunakan platform VTL Malaysia-Singapura diingatkan mengenai keperluan melaksanakan ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (kendiri) pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan.

“Seterusnya ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (professional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan,” katanya.

Tambah beliau, ia selaras dengan pengumuman KKM sebelum ini berhubung tindakan pengukuhan kepada langkah pencegahan dan kawalan sedia ada bagi pengembara dari luar negara, termasuk pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia melalui inisiatif VTL.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, KKM menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Lakukan ujian pengesanan Covid-19 mengikut ketetapan yang digariskan bagi mengetahui status risiko diri sendiri dan seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain.Ia juga bagi memastikan perjalanan rentas sempadan melibatkan skim VTL Malaysia-Singapura ini dapat terus dilaksanakan dengan selamat,” katanya.

Sumber: Utusan

Sumber Gambar: VulcanPost

Destination: