Hukuman Penjara 6 Bulan, Denda Sehingga 1 Ribu Ringgit Sekiranya Langgar Perintah Kawalan Pergerakan

TERKINI
March 18, 2020 - 12:15 PM


Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan orang ramai di seluruh negara dan tindakan drastik ini perlu diambil dalam usaha menyekat penularan wabak COVID-19.

Pagi tadi (Rabu,18 Mac), Jabatan Peguam Negara telah menyiarkan Warta Kerajaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Peraturan ini berkuatkuasa bagi tempoh 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 dan menurut warta berkenaan, sesiapa yang melanggar mana – mana peruntukan dalam peraturan ini boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua – duanya.

22 sektor perkhidmatan penting turut disenaraikan sebagai perkhidmatan penting negara dan ia memperlihatkan ada beberapa penambahan yang dilakukan seperti hotel dan penginapan, hidupan liar serta e-dagang.

 

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan bahawa pusat dobi layan diri juga tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan.

Larangan ini dibuat bagi mengelak orang ramai berkumpul.

Selain perkhidmatan dobi layan diri, pihak KPDNHEP juga memaklumkan bahawa pasar malam serta pasar tani turut tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh yang dinyatakan.

Sumber : Astro Awani