KTMB Mula Kuat Kuasa Perintah Kawalan Pergerakan 8.30 Pagi
TERKINIPihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan ke atas semua penumpang dan tren bermula 8.30 pagi hari ini (Rabu, 18 Mac) berikutan penularan wabak COVID-19 yang setakat ini telah meragut 2 nyawa di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Datuk Kamarulzaman Zainal, hanya bukan warganegara Malaysia dibenarkan menaiki tren Shutle Tebrau dari JB Sentral ke Woodlands, Singapura dan hanya rakyat Malaysia dibenarkan menaiki tren yang sama dari Woodlands ke JB Sentral.
Tren bagi perkhidmatan ulang – alik antara sempadan Malaysia dan Thailand akan digantung sepenuhnya buat sementara.
Walaubagaimanapun, perkhidmatan tren elektrik (ETS), KTM Antarabandar, KTM Komuter dan Skypark Link beroperasi seperti biasa dan sekiranya penumpang ingin membuat pindaan atau pembatalan tiket sepanjang tempoh perintah yang berkuatkuasa hari ini diminta merujuk kepada stesen – stesen KTMB berhampiran.
Pemulangan tambang akan dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan iaitu 14 hari selepas tarikh pembatalan tiket.
Orang ramai diminta mendapatkan maklumat berkenaan operasi tren KTMB menerusi laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200.
Sementara itu, tinjauan yang kami lakukan di Stesen KTMB Rawang pagi tadi mendapati keadaan stesen lenggang, tidak seperti hari – hari biasa dan ini menunjukkan orang ramai dan banyak syarikat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.
Kami dapati, tren kosong namun masih ada beberapa orang yang mungkin mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.
Selain itu, jalanraya di Bandar Rawang juga tidak sesak seperti kebiasaan hari bekerja dan kedai – kedai yang biasanya beroperasi awal pagi pun tidak dibuka.