Tak Dapat Tiket Balik Raya Habis? Jangan Risau KTMB Tambah Tren, Siap Perkenal Tren Khas Keluarga Malaysia!

TERKINI
April 14, 2022 - 12:28 PM


Korang dah beli tiket untuk balik kampung tahun ini? Apa! Tiket habis? Jangan risau, ini ada berita yang mungkin melegakan korang yang belum ada tiket nak balik beraya...

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan perkhidmatan tren khas buat Keluarga Malaysia yang dikenali sebagai Ekspres Khas Keluarga Malaysia.

Tren khas tersebut akan membuat perjalanannya pada 29 April ini.

Perkhidmatan ini akan beroperasi bagi laluan pantai timur yang bermula dari stesen KL Sentral ke stesen Tumpat dan sebaliknya -- serta 516 tiket ditawarkan.

Inisiatif ini merupakan kerjasama KTMB dan Kementerian Pengangkutan dengan slogan "Maghi Kelik Kampung" sebagai salah satu pengangkutan alternatif bagi mereka yang akan pulang ke kampung halaman dengan selamat dan tambang yang berpatutan.

Tren ini akan berlepas pada 29 April jam 10 malam dari stesen KL Sentral dan akan berhenti di 17 stesen.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata tren khas ini adalah perkhidmatan istimewa dari KTMB untuk Keluarga Malaysia yang ingin pulang dengan keselesaan dan menjimatkan masa.


"Tren khas ini bakal dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier dan superior, koc buffet dan koc chillax untuk aktiviti solat atau moreh beramai-ramai.

"Tiket akan mula dijual pada 15 April dengan harga bermula RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala. Cenderahati khas juga akan diberikan kepada penumpang yang membuat perjalanan khas dengan tren khas ini," jelasnya.

Bukan sahaja tren khas, malah KTMB juga turut menyediakan dua tren elektrik (ETS) tambahan dengan 4,368 tiket.

Ia melibatkan perjalanan KL Sentral - Padang Besar dan sebaliknya bagi tarikh 29 April hingga 2 Mei dan 6 Mei hingga 8 Mei.

Jualan tiket bagi tren tambahan akan mula dijual pada 15 April (esok) menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB : https://www.ktmb.com.my/

Sumber: Astro Awani

Destination: