India Dilanda Pencemaran Udara, Taj Mahal Dipasang Alat Penulen Udara
TERKINIBagi siapa yang dalam masa terdekat ini merancang untuk melancong ke India, mungkin anda perlu bersiap siaga dengan topeng mulut dan hidung atau alat pernafasan yang diperlukan serta bekalan air secukupnya.
Ini kerana ketika ini India terutama di Agra dan Delhi sedang berdepan dengan pencemaran udara berbahaya serta dianggap membahayakan kesihatan manusia.
Hinggakan Kerajaan New Delhi meminta orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti luar kerana pencemaran udara tersebut mencatatkan paras terburuk tahun ini.
Data kualiti udara menunjukkan 15 dari 20 bandar paling tercemar di dunia terletak di India.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan media masih ramai pelancong dikatakan tetap mengunjungi tarikan ikonik India iaitu Taj Mahal.
Oleh kerana itu, pihak berkuasa Uttar Pradesh telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menempatkan peralatan penulen udara di Taj Mahal bagi melindungi destinasi ikonik itu ekoran kualiti udara yang semakin buruk di India.
Peralatan penulen udara itu mempunyai kapasiti untuk membersihkan 1.5 juta meter padu udara dalam masa lapan jam dalam jarak 300 meter.
Monumen abad ke-17, terletak kira-kira 220 kilometer dari New Delhi itu dibina maharaja Shah Jahan antara 1632 dan 1654 untuk isterinya Mumtaz Mahal.
Sejak beberapa dekad, Taj Mahal turut berdepan masalah pencemaran alam sekitar disebabkan asap industri, debu selain kotoran di sungai Yamuna yang dicemari dengan sisa kumbahan.
Sumber: Bernama