Individu Positif Covid Kategori 1 dan 2A Tidak Perlu Ke CAC
TERKINIIndividu yang disahkan positif Covid-19 dalam kategori 1 dan 2A serta tidak berisiko tinggi tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka hanya perlu melakukan pemantauan kesihatan kendiri dengan melengkapkan Peralatan Penilaian Rumah (HAT) menerusi aplikasi MySejahtera.
Katanya, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan perkhidmatan rakaman suara automatik (panggilan robot) akan dihantar jika mereka belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri secara harian.
Sebaliknya kata beliau, individu positif bagi kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mengalami gejala yang semakin teruk perlu ke CAC atau hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC.
“Tempoh isolasi (pengasingan) bagi individu positif Covid-19 yang tidak bergejala dan telah lengkap vaksinasi adalah tujuh hari, manakala tempoh isolasi bagi individu positif Covid-19, bergejala dan tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi adalah selama 10 hari.
“Individu yang perlu menghadiri CAC terdekat untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi oleh CAC melalui SMS atau panggilan telefon,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Sumber: Utusan