Ini 2 Sebab Utama Kenapa Ramai Yang 'Cemburu' Dengan Pemergian Siti Sarah
TERKINIBerita pemergian penyanyi bersuara lunak, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin, 36 tahun menggemparkan negara dan sekaligus membuatkan ramai yang mencemburui arwah.
Ini kerana selain ketika hayatnya ramai yang mengatakan betapa dermawan isteri kepada pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu -- kemudian kematiannya juga akibat wabak COVID-19 dan meninggal dunia selepas melahirkan anak membuatkan arwah layak tergolong sebagai 'mati syahid' yang didambakan oleh ramai umat Islam.
Menurut Pendakwah Bebas, Imam Muda Asyraf -- kedua-dua faktor itu membolehkan pemergian penyanyi kesayangan ramai itu tergolong dalam syahid ketiga, iaitu syahid akhirat.
Jelasnya, syahid terbahagi kepada tiga peringkat iaitu :
1) Syahid dunia dan akhirat - hanya untuk mereka yang terkorban dalam medan peperangan fisabilillah.
2) Syahid dunia - mereka yang pada zahirnya terbunuh dalam peperangan, tetapi sebaliknya diselubungi nawaitu yang tidak jujur atau dipaksa.
3) Syahid akhirat - kematian disebabkan melahirkan anak, terbakar, wabak seperti taun serta COVID-19, lemas dan sebagainya.
"Dalam kes Siti Sarah, Allahyarhamah meninggal dunia disebabkan virus COVID-19 dan baru melahirkan anak. Maka, kita boleh kata Allahyarhamah tergolong dalam syahid akhirat," katanya kepada BH Online.
Asyraf yang juga juara musim pertama Imam Muda berkata, individu yang tergolong dalam syahid akhirat akan diberi ganjaran dan kemuliaan Allah SWT di akhirat.
"Jenazah mereka diuruskan seperti biasa. Cuma diberikan kemuliaan khusus di akhirat nanti.
"Jadi, marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allahyarham tergolong dalam syahid akhirat," katanya.
Selepas lebih 48 jam bertarung nyawa, Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat pandemik COVID-19, jam 5.13 pagi tadi (9 Ogos).
Pemergian penyanyi lagu Semakin itu disahkan suaminya, Shuib di Instagram (IG) milik beliau.
Sebelum ini, Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar pada jam 5 petang, Jumaat lalu.
Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 2011 sebelum ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10 tahun, Dzahira Talita Zahra, 8 tahun, dan Ariq Matin, 6 tahun.
P/S: Salam takziah buat keluarga Allahyarhamah Siti Sarah. Al-Fatihah.