Ini Rupanya Kisah Di Sebalik Video Viral Warga Asing Serbu PPV Rumah Prihatin @ Grand Season!

TERKINI
August 12, 2021 - 02:52 PM


Semalam (11 Ogos) -- viral sebuah video di media sosial mengenai kesesakan di Rumah Prihatin Grand Seasons, Kuala Lumpur yang didakwa ramai warga asing kelihatan beratur panjang bagi mendapatkan perkhidmatan vaksinasi secara 'walk-in'.

Bagaimanapun, kejadian malang itu dikatakan berlaku akibat berpunca daripada salah faham dan berita kononnya premis itu menyediakan perkhidmatan vaksinasi tanpa janji temu untuk bukan warganegara.

Mereka keliru dengan lokasi sebenar yang ditentukan iaitu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bukit Jalil, dan bukannya di Rumah Prihatin @ Grand Season.

Pengurusan Rumah Prihatin @ Grand Seasons dalam kenyataan berkata, pihaknya hanya menerima vaksinasi tanpa janji temu untuk warganegara Malaysia dengan keutamaan kepada golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), kelompok terpinggir dan golongan rentan.

"Pada peringkat awal, kami mengambil tindakan bersama polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyuraikan keadaan, namun warga asing ini tetap tidak mahu bersurai walaupun sudah diberikan arahan dan amaran.

"Bagaimanapun, keadaan kembali dibetulkan dengan bantuan polis dan DBKL.

"Program vaksinasi ini diuruskan Rumah Prihatin di bawah Program Vaksinasi MyMedik@Wilayah dan tidak membabitkan pihak lain. Kami kesal dengan apa yang terjadi dan akan meningkatkan lagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan bantuan pihak berkuasa, bagi memastikan kejadian ini tidak berulang," katanya.

Hari ini satu video berdurasi tujuh minit 15 saat, yang menunjukkan suasana kesesakan dengan tiada penjarakan fizikal di luar perkarangan premis tersebut, tular di laman sosial sekali gus mengundang kegusaran dalam kalangan warga maya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis mengambil tindakan segera mengawal keadaan di PPV itu selepas tular video mengenai kesesakan dan pelanggaran SOP di kawasan itu.

"Pasukan pematuhan berjaya mengawal keadaan di pusat berkenaan, sehingga program vaksinasi selesai," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perlanggaran SOP supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Sumber: BERNAMA

 

Destination: