Juruterbang Lakukan Pendaratan Cemas Dek Kerana Durian

TERKINI
October 08, 2019 - 11:53 AM


Sebuah pesawat Boeing 767 terpaksa melakukan pendaratan cemas selain topeng pernafasan diturunkan dek kerana bau durian memenuhi ruang kabin.

Kejadian yang berlaku di Kanada ini melibatkan penerbangan Air Canada Rouge bertujuan ke Vancouver dari Montreal dan difahamkan anak kapal mengesan ‘bau yang kuat’ di kabin pesawat jenis Boeing 767 berkenaan.

Siasatan awal dilakukan oleh anak kapal namun gagal menjumpai bau berkenaan yang kemudiannya merebak dengan cepat dan kuat ke seluruh kabin pesawat. Disebabkan gagal menemukan punca bau berkenaan, juruterbang meminta untuk pendaratan cemas.

Kesemua penumpang diminta menggunakan topeng oksigen dan pesawat berpatah balik ke Montreal. Selesai pendaratan, punca bau dikenalpasti daripada bahagian kargo yang membawa buah durian berkenaan.

Seramai 245 orang penumpang dan 8 anak kapal berada dalam pesawat ketika kejadian.

Kalau nak diikutkan, ini bukanlah insiden pertama pesawat terpaksa melakukan pendaratan cemas atau berpatah balik disebabkan durian kerana tahun lalu, cerita yang hampir sama juga dilaporkan di Indonesia.