Kelantan Negeri Pertama Wajibkan Ujian Saringan Jika Nak Masuk Ke Sana

TERKINI
May 28, 2020 - 04:51 PM


Kelantan menjadi negeri pertama mewajibkan ujian saringan Coronavirus kepada sesiapa yang ingin memasuki negeri tersebut mulai 27 Mei 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan (JKKN) Kelantan -- Dr Izani Husin berkata arahan itu membabitkan semua yang masuk melalui pesawat atau kenderaan darat.

Beliau berkata, keputusan dibuat dalam mesyuarat Khas JKKN hari ini berikutan seorang wanita hamil di Kuala Krai yang positif Covid-19 selepas pulang ke Kelantan.

“Mereka akan disaring di sekatan jalan raya di Jeli, Gua Musang, Pasir Puteh dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP),” katanya.

Tambah beliau, kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri akan ditempatkan di semua pintu masuk sempadan negeri.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak menggunakan laluan tikus bagi mengelak menjalani ujian saringan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya turut mewajibkan pemakaian penutup muka di premis tertutup.

Sebelum ini media melaporkan seorang wanita hamil didapati positif Covid-19 di negeri terbabit selepas melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang yang berstatus zon merah ke Kelantan.

Wanita tersebut disahkan positif Covid-19 apabila berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak untuk menjalani rutin pemeriksaan.

Sumber: Sinar Harian

Destination: